Satu perlawanan bola sepak bawah 20 tahun di Brazil mencetuskan kekecohan luar biasa apabila sebanyak 51 individu dilayangkan kad merah susulan pergaduhan besar antara dua pasukan.
Kejadian berlaku ketika perlawanan separuh akhir Divisyen Dua Kejuaraan Mineiro Bawah 20 Tahun antara Uberlândia dan Mamoré di Stadium Parque do Sabiá, Uberlândia pada 1 November lalu.
Menurut laporan media Brazil, perlawanan itu menyaksikan 22 individu daripada pasukan Uberlândia dan 29 daripada Mamoré diperintahkan keluar padang.
Daripada jumlah keseluruhan itu, 48 kad merah diberikan susulan pergaduhan yang tercetus pada penghujung babak kedua, manakala tiga lagi dilayangkan atas kesalahan berasingan sepanjang perlawanan.
Kekecohan bermula ketika masa kecederaan selepas Mamoré menjaringkan gol ketiga untuk mendahului perlawanan 3-1.
Tindakan seorang pemain Mamoré, Davi Fernandes Bittencourt yang didakwa melakukan provokasi ke arah bangku simpanan Uberlândia selepas jaringan tersebut mencetuskan pertelingkahan sebelum keadaan bertukar menjadi pergaduhan melibatkan pemain dan pegawai kedua-dua pasukan.
Menurut laporan pengadil, pergaduhan itu membabitkan tumbukan dan tendangan, selain kerusi serta pengusung dilaporkan turut dibaling.
Malah, enam pengutip bola turut didakwa terlibat dalam kekecohan berkenaan.
Pengadil perlawanan, Fernando Patrick akhirnya menghentikan aksi lebih awal selepas keadaan tidak lagi terkawal.
Insiden itu turut menyebabkan pihak polis tentera dipanggil bagi mengawal keadaan.
Sebelum pergaduhan besar tercetus, beberapa individu daripada pengurusan Uberlândia turut dilaporkan memasuki padang dan berdepan dengan pengadil selepas seorang pemain pasukan itu dilayangkan kad merah.
Laporan media tempatan turut menyebut beberapa ugutan terhadap pengadil dibuat ketika kejadian berkenaan.
Dalam perkembangan sama, kira-kira 14 pintu dilaporkan rosak, selain kerosakan pada singki, paip air, tandas, kemudahan pancuran mandian, pemasangan elektrik dan perabot di kawasan bilik persalinan.
Dua tab mandi panas turut dilaporkan mengalami kerosakan.
Jumlah 51 individu yang diperintahkan keluar itu mengatasi rekod terdahulu sebanyak 36 pemain dalam satu perlawanan antara Atlético Claypole dan Victoriano Arenas di Argentina pada 2011.
Bagaimanapun, rekod baharu tersebut masih belum mendapat pengiktirafan rasmi daripada Guinness World Records.

