KANGAR, 4 Nov (Bernama) -- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis Rus’sele Eizan hari ini berhubung kekosongan luar jangka kerusi DUN Mata Ayer berikutan kematian penyandangnya Wan Badariah Wan Saad.
Pengerusi SPR Datuk Seri Ramlan Harun berkata selaras Fasal (5) Perkara 55 Undang-Undang Tubuh Negeri Perlis, Speaker DUN memaklumkan kepada SPR bahawa tiada keperluan bagi mengisi kekosongan luar jangka tersebut.
“Selaras dengan itu, tiada Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Bahagian Pilihan Raya Negeri DUN N.04 Mata Ayer, Perlis akan dijalankan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Wan Badariah, 50, meninggal dunia di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini pada 4.26 petang, Sabtu lepas.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Wan Badariah daripada PAS yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) memperoleh 4,419 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Siti Berenee Yahaya (2,398 undi) dan Amran Kamarudin daripada Pakatan Harapan (PH) (794 undi) dengan majoriti 2,021 undi.
Allahyarham pernah menjadi Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Perlis di bawah pentadbiran Menteri Besar Mohd Shukri Ramli.
-- BERNAMA

