Tujuh Lelaki Tempatan Ditahan Bantu Siasatan Pergaduhan Penyokong Penang FC, Kedah
GEORGE TOWN, 23 Ogos (Bernama) — Polis menahan tujuh lelaki bagi membantu siasatan insiden pergaduhan membabitkan penyokong kelab bola sepak Penang FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata kejadian berlaku kira-kira 11.20 malam di sebuah stesen minyak di sini dan disyaki berpunca daripada provokasi antara kedua-dua penyokong di luar Stadium Bandaraya selepas menyaksikan perlawanan Liga Super.
“Selepas menerima maklumat, sepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut tiba di lokasi bagi mengawal keadaan. Polis merampas dua batu, dua kon jalan dan sebatang kayu dipercayai digunakan oleh kesemua suspek semasa kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
BACA JUGA: Kecoh Di Luar Stadium, Tular Insiden Pergaduhan Dipercayai Lepas Perlawanan Pulau Pinang & Kedah
Beliau berkata kejadian turut menyebabkan cermin pintu sebuah bas yang membawa penyokong pasukan Kedah pecah akibat ditumbuk seorang daripada suspek manakala dua daripada yang ditahan mengalami kecederaan di kepala dipercayai terkena balingan batu.
Menurut Soffian kesemua lelaki berusia 18 hingga 38 tahun dan berasal dari Pulau Pinang, Kedah serta Sarawak itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Katanya kesemuanya yang negatif terhadap dadah direman hingga esok untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 427 kanun sama kerana melakukan khianat.
Sumber: BERNAMA