DOF Akan Pastikan Import Ikan Marin Dari Jepun Bebas Kandungan Radionuklid
PUTRAJAYA — Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa pihaknya akan memastikan import ikan marin (hidup) dari Jepun adalah bebas daripada kandungan cemaran radionuklid.
Sebagai langkah kawalan, DOF turut memastikan setiap konsainan perlu mempunyai Sijil Kesihatan Ikan daripada negara pengimport yang sedang berkuatkuasa.
Permit Import Dari MAQIS
Maklum kenyataan tersebut, semua pengimport konsainan ikan hidup perlu memohon permit import daripada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS). Ia bagi mematuhi syarat-syarat permit import yang telah dinyatakan oleh DOF di dalam permit MAQIS.
DOF mengeluarkan kenyataan itu susulan makluman pelepasan sisa radioaktif terawat Fukushima beberapa hari lalu.
“DOF mengambil perhatian serius terhadap kenyataan akhbar tempatan berkaitan pelepasan sisa air radioaktif terawat Fukushima bertarikh 24 Ogos 2023 serta kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 23 Ogos 2023, di mana KKM akan mengenakan pemeriksaan Tahap 4 (pengawasan) di pintu masuk negara terhadap produk makanan berisiko tinggi yang dimport dari negara Jepun untuk analisis kandungan bahan radioaktif.
“Dalam perkara ini, pihak Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui DOF, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan MAQIS akan memberikan kerjasama kepada KKM bagi memastikan hasil perikanan di pasaran adalah bebas bahan pencemar,” maklum jabatan itu dalam kenyataan hari ini.
BACA JUGA: China Haramkan Import Semua Makanan Laut Dari Jepun
Tambah DOF, pihaknya juga mengingatkan semua pengimport produk hasilan perikanan Jepun supaya mematuhi peraturan import dan prosedur yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa dalam negara bagi memastikan makanan yang diimport adalah selamat.
Setiap konsainan perlu mempunyai Sijil Kesihatan oleh Pihak berkuasa Negara Jepun.
Untuk rekod, Malaysia mengimport hasilan perikanan bagi tujuan makanan daripada negara Jepun secara sejuk beku iaitu produk ikan sardin dan ikan mackerel. Manakala, bagi ikan hidup daripada Jepun, Malaysia hanya mengimport ikan hiasan (Air Tawar) seperti Koi Carp (Cyprinus carpio).
Pengimportan ikan hidup ini hanya melibatkan ikan hiasan air tawar sahaja dan bukan ikan marin.
“Sehubungan itu, KPKM melalui Jabatan atau Agensi terlibat sentiasa memastikan SOP Pemantauan dilaksanakan sebaik mungkin secara berterusan dan bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk memastikan keselamatan makanan dan keterjaminan makanan kepada seluruh rakyat Malaysia,” maklum DOF lagi.
Sumber: Jabatan Perikanan Malaysia (DOF)