ERL Sambung Sistem “Check In” Penerbangan Di Stesen KL Sentral
Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) dilaporkan akan membuka semula kemudahan untuk daftar masuk penerbangan dan penurunan bagasi dalam bandar di Stesen KL Sentral bermula 1 September.
Pengumuman itu dibuat oleh KLIA Ekspress pada 25 Ogos lalu menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan di laman rasmi syarikat tersebut.
Menurutnya, pembukaan semula kemudahan itu adalah bertujuan untuk menawarkan kemudahan penumpang serta faedah menjimatkan masa dan tiba di lapangan terbang tanpa bagasi.
Sebagai permulaan, perkhidmatan itu akan dapat diakses secara ekslusif oleh penumpang Malaysia Airlines terlebih dahulu.
Seterusnya, ia juga akan turut disertai oleh syarikat penerbangan yang lain pada masa akan datang.
Pelancong boleh mendaftar masuk untuk penerbangan dan menurunkan bagasi mereka di KL Sentral semasa waktu operasi kaunter syarikat penerbangan. Pelancong boleh melakukannya bermula dari 6:00 pagi hingga 10:00 malam.
Selain itu, kereta api KLIA Ekspres kini beroperasi setiap 20 minit dengan peleasan dari jam 5:00 pagi hingga 12:00 tengah malam.

“Penumpang yang mendaftar masuk di KL Sentral akan menerima pas masuk mereka. Semua bagasi daftar masuk mereka akan diimbas keselamatan dan ditandakan ke destinasi terakhir mereka, sama seperti di lapangan terbang,” tulis kenyataan itu.
Gembira untuk mengumumkan kemudahan perkhidmatan tersebut
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ERL, Noormah Mohd Noor berkata bahawa mereka gembira untuk pengumuman pembukaan semula kemudahan tersebut.
“Kami gembira akhirnya membuka semula kemudahan daftar masuk penerbangan dalam bandar untuk penumpang setia kami yang telah meminta perkhidmatan ini selepas wabak.
“Dengan daftar masuk penerbangan dalam bandar, pengembara udara boleh mengelak daripada beratur di lapangan terbang.
“Mereka juga mempunyai lebih banyak masa untuk menikmati hidangan, menukar mata wang atau membeli-belah sementara menunggu untuk menaiki penerbangan mereka.
“Penumpang boleh yakin bahawa bagasi mereka akan dipindahkan dengan selamat ke lapangan terbang. Seperti yang kami lakukan dalam 17 tahun lalu sebelum wabak, dengan rekod yang hampir sempurna,” tambah Noormah.
BACA: Viu Buat Showcase Percuma 31 Ogos, Boleh ‘Meet & Greet’ Artis Termasuk Bunkface & MK K-Clique
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Pemasaran Kumpulan, Lau Yin May dari Malaysia Aviation Group berkata bahawa mereka mahu pelancong merasai pengalaman perjalanan yang selamat.
“Memandangkan ramai yang ingin meneroka dunia sekali lagi, keutamaan kami kekal dalam memastikan perjalanan yang selamat dan lancar untuk penumpang kami. Dari saat mereka menempah penerbangan mereka sehingga ke destinasi ketibaan mereka.
“Penumpang yang tinggal berhampiran pusat bandar disediakan satu lagi jalan untuk daftar masuk dengan mudah. Menurunkan bagasi mereka dan memindahkannya dengan lancar ke penerbangan mereka serta membolehkan mereka menaiki kereta api terus ke lapangan terbang dengan percuma!” kata Lau Yin May.
Selain itu, ERL turut menawarkan potongan RM10 bagi setiap pembelian tiket KLIA Ekspress kepada semua penumpang setianya.
ERL turut memberi peringatan kepada mereka yang bakal menggunakan perkhidmatan daftar masuk tersebut.
Pelancong diingatkan untuk mendaftar masuk sekurang-kurangnya dua jam sebelum waktu berlepas penerbangan mereka.
Sumber: KLIA Ekspres