Siakap Keli
zahid dilepas tanpa dibebaskan
Gambar: Bernama

Ahmad Zahid Dilepas Tanpa Dibebaskan Daripada 47 Pertuduhan

Ahmad Zahid Dilepas Tanpa Dibebaskan Daripada 47 Pertuduhan

KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) — Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan untuk melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada semua 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah, dan pengubahan wang haram yang berkaitan dengan dana Yayasan Akalbudi.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar untuk melepaskan tanpa membebaskan Ahmad Zahid, apabila pihak pendakwaan memutuskan untuk memberhentikan prosiding, kerana mereka berhasrat menyiasat kes itu dengan lebih mendalam.

“Mahkamah ini membuat keputusan untuk melepaskan tanpa membebaskan. Sebelum saya tangguhkan, saya ingin menyatakan di sini bahawa, apa sekalipun kuasa Peguam Negara di bawah Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 254 Kanun Acara Jenayah untuk memulakan dan menarik balik pertuduhan pada bila-bila masa sebelum penghakiman dibuat, tidak boleh dipersoalkan.

“Andainya pihak pendakwaan memutuskan dalam masa terdekat bahawa mereka tidak akan meneruskan pendakwaan, bahawa banyak masa kehakiman yang barharga akan terbuang di samping membazirkan banyak wang pembayar cukai, dan dengan ini, mahkamah ditangguhkan,” katanya.

Ahmad Zahid sebelum ini telah menghantar surat representasi setebal 200 muka surat kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) sebagai asas pertimbangan supaya pertuduhan terhadapnya digugurkan.

Surat representasi pertama dikemukakan pada Januari lepas, manakala yang terbaru, lengkap dengan fakta dan bukti baharu, dihantar kepada AGC pada Februari.

BACA JUGA: Pendakwaan Mohon Ahmad Zahid Lepas Tanpa Bebas Daripada 47 Pertuduhan

Hakim Sequerah berkata pihak pendakwaan dalam melaksanakan kuasanya mengikut Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan dan di bawah Seksyen 254 Kanun Acara Jenayah, memutuskan untuk menarik balik 47 pertuduhan terhadap tertuduh.

“Pihak pendakwaan bagaimanapun memohon DNAA, mereka ada beberapa sebab untuk ini, tetapi tidak terhad kepada keperluan untuk menyiasat lebih lanjut mengenai pertuduhan yang dikenakan, dan bahawa suruhanjaya siasatan diraja akan dimulakan berhubung kandungan sebuah buku bekas Peguam Negara (Tan Sri Tommy Thomas).

“Pihak pembelaan bagaimanapun membantah DNAA, sebaliknya memohon supaya mahkamah memberikan keputusan dilepas dan dibebaskan (DAA),” katanya.

Hakim Sequerah berkata perintah DNAA telah diputuskan, susulan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi meneliti dakwaan yang terkandung dalam memoir kontroversi Thomas, terutamanya berhubung dengan dakwaan berkaitan pendakwaan terpilih.

“Representasi adalah setebal kira-kira 200 muka surat, dan adalah wajar untuk pemeriksaan lanjut dijalankan,” kata Sequerah.

Beliau seterusnya berkata kes itu bermula pada November 2019, dan perbicaraan telah berlangsung selama 77 hari dengan 114 saksi dipanggil untuk memberi keterangan.

“Sehubungan itu saya memutuskan supaya tertuduh dilepas tanpa dibebaskan,” katanya.

Terdahulu, Mohd Dusuki Mokhtar berkata beliau mendapat arahan daripada peguam negara untuk tidak meneruskan prosiding ini.

Beliau memohon supaya kes itu diklasifikasikan sebagai DNAA kerana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih menyiasat perkara berkenaan dan pihak pendakwaan perlu menyemak hasil siasatan.

Selain itu, beliau berkata pihak pembelaan juga telah memanggil 15 saksi setakat ini.

Peguam Ahmad Zahid, Datuk Hisyam Teh Poh Teik pula kemudiannya memohon supaya mahkamah membebaskan dan membebaskan anak guamnya mengikut Seksyen 254 Kanun Acara Jenayah.

“Yang Arif, kes ini berada di peringkat pembelaan, dan sejumlah 15 saksi telah beri keterangan sehingga kini, dan sekarang AGC memutuskan untuk menyemak semula dan menyiasat lebih lanjut kes ini. Kes ini telah membelenggu anak guam saya sejak 2018.

“Pihak AGC sendiri tidak mahu meneruskan kes itu, justeru anak guam saya mesti dibebaskan sepenuhnya,” kata Hisyam sambil menambah adalah tidak adil sekiranya Ahmad Zahid tidak diberikan pembebasan sepenuhnya.

Sumber: Bernama

Sofea

There's always another side to every story