Mulut Berbau Berkait Dengan Radang Tonsil? Ini Kata Doktor
Perasan tak, sesetengah orang yang kita kenal mempunyai masalah mulut berbau? Kadang-kadang kita sebagai kawan malu untuk menegurnya dan hanya berdiam diri ketika bertemu dengannya.
Sekiranya diri sendiri mengalami masalah tersebut, orang sekeliling yang akan perasan dapat mengesan bau itu dan bukannya diri kita sendiri.
Kalau nak tahu, mereka yang mempunyai masalah seperti ini kebanyakannya mempunyai radang tonsil. Sebenarnya radang tonsil ini penyakit apa?
Mari ketahui di bawah ini supaya dapat mengelakkan masalah tersebut menjadi lebih serius dan sekiranya rakan-rakan anda mengalami masalah mulut berbau, jangan takut untuk menegur mereka.
Hal ini kerana kadang-kadang mereka tidak sedar sebenarnya bau yang tidak sedap itu datang daripada mereka.
Ini 14 Simptom Radang Tonsil! Usah Biarkan Sebab Boleh Bawa Maut!
Pernah dengar mengenai penyakit radang tonsil atau tonsilitis?
Tonsil adalah sejenis tisu limfoid yang terletak di permukaan saluran pernafasan dan percernaan anda serta merupakan antara sistem imun tubuh badan yang paling penting.
Ia berfungsi sebagai barisan pertahanan pertama terhadap patogen asing iaitu organisme seperti kuman, bakteria dan virus yang boleh menyebabkan jangkitan.
Pun begitu, pernahkah kalian terfikir jika bahagian ini terkena jangkitan lantas mengakibatkan penyakit seperti radang tonsil?
Buat anda yang terfikir dan tertanya sama ada kondisi ini boleh membawa maut atau tidak, mari kita ikuti artikel ini untuk tahu!
BACA: Awas, Radang Paru-paru Boleh Sebabkan 6 Komplikasi Serius Ini
Apa itu radang tonsil?
Sebelum pergi dengan lebih mendalam lagi, adalah wajar untuk kita semua tahu definisi sebenar penyakit ini terlebih dahulu.
Turut dikenali sebagai tonsilitis, kondisi ini akan berlaku angkara jangkitan organisme bakteria atau virus.
Ia lebih kerap berlaku kepada golongan kanak-kanak, remaja dan belia serta jarang menjangkiti warga emas.
Kebiasaannya, tonsilitis adalah salah satu daripada masalah kesihatan akut namun hanya bersifat jangka masa pendek sahaja.
Antara simptom yang paling popular tentang penyakit ini adalah permukaan tonsil akan kelihatan merah cerah dengan bintik putih serta garis nanah yang menyebabkan kesakitan.
Ya, ia adalah kondisi kesihatan yang sangat bahaya sekiranya tidak dirawat dengan kadar segera.
Oleh itu, tolong jangan bertangguh untuk berjumpa dengan doktor jika khuatir terkena tonsilitis.
Apa simptom & komplikasi tonsilitis?
Sekiranya terkena radang tonsil, penderita mungkin akan mengalami beberapa simptom termasuklah:
- Kelenjar limfoid membesar
- Tonsil membengkak
- Tonsil berubah warna merah dengan bintik putih serta garis nanah
- Timbul ulser pada sekitar kawasan tekak
- Sukar menelan makanan dan minuman pejal
- Hilang selera makan
- Suara berubah garau
- Nafas berbau busuk
- Sakit tekak
- Sakit telinga
- Sakit perut
- Pening kepala
- Demam panas
- Lemah badan
Antara komplikasi yang mungkin akan berlaku adalah kesukaran untuk bernafas ekoran saluran pernafasan penderita tersekat gara-gara tonsil yang bengkak.
Kesukaran ini boleh berlaku semasa sedar ataupun ketika sedang tidur (gangguan tidur apnea).
Ia adalah sangat bahaya kerana sekatan ini mungkin boleh mengakibatkan kalian tercekik atau tidak mampu bernafas dengan betul.
Selain itu, tonsilitis juga mungkin boleh merebak sehingga menjejaskan dinding sekeliling tonsil (tonsillar cellulitis).
Jangkitan ini turut meningkatkan risiko pengumpulan nanah pada bahagian belakang tonsil (peritonsillar abscess).
Namun adakah ia begitu kronik sehingga boleh menyebabkan kematian?
Radang tonsil boleh menyebabkan kematian?
Sekiranya tidak dirawat dengan segera, tonsilitis akan menjadi lebih teruk lantas mengakibatkan kondisi kesihatan yang berbahaya sehingga mungkin boleh membawa maut.
Meskipun tidak banyak kes kematian disebabkan penyakit ini, namun risiko saluran pernafasan penderita tersekat akibat tonsil yang bengkak masih lagi tinggi.
Ini lebih berisiko jika ia terjadi ketika sedang tidur kerana penderita tidak sedar tentang perkara yang berlaku lantas tidak mampu untuk mencari atau meminta pertolongan.
Jadi, jawapan ringkasnya adalah ya tonsilitis boleh menyebabkan kematian.
Namun ia bukan disebabkan penyakit itu sendiri sebaliknya didasari oleh komplikasi lain yang boleh terjadi akibat penyakit ini.
Apa yang kalian boleh lakukan?
Baiklah, sekarang kita sudah tahu bahawa memang benar tonsilitis boleh membawa maut jika tidak dirawat dengan kadar segera.
Oleh itu, perkara pertama yang penderita perlu lakukan adalah berjumpa dengan doktor untuk sesi konsultasi terlebih dahulu.
Anda perlu ketahui sama ada kalian memang benar mengalami tonsilitis atau penyakit lain berkaitan tonsil ataupun tekak seperti strep throat dan lain-lain.
Ini adalah sangat penting untuk para doktor menentukan kaedah rawatan lanjutan yang seterusnya.
Sekiranya ia memang benar tonsilitis, rawatan lanjutan adalah bergantung kepada tahap keterukannya.
Jika masih di tahap yang belum teruk, pengambilan antibiotik untuk membunuh bakteria atau virus yang menyebabkan jangkitan mungkin sudah memadai.
Jika di tahap yang sangat teruk pula, pembedahan untuk membuang tonsil mungkin perlu dilakukan untuk mencegah penyebaran jangkitan yang lebih akut.
Akhir kata, radang tonsil adalah satu penyakit yang tidak wajar dipandang enteng kerana ia mungkin boleh membawa maut.
Oleh itu, segeralah berjumpa doktor sekiranya kalian mengalami simptom-simptom seperti yang kami nyatakan di atas tadi.
Sumber: Hello Doktor