Siakap Keli
bapa nurin jazlin birthday
Kredit: Jazimin AO/Facebook

“Happy Birthday Kak Ngah..” Bapa Nurin Jazlin Titip Ucapan Pilu, Rindu Tak Berpenghujung

“Happy Birthday Kak Ngah..” Bapa Nurin Jazlin Titip Ucapan Pilu, Rindu Tak Berpenghujung

Sekiranya anda berada pada tahun sekitar 2007, pasti mengetahui kisah seorang gadis yang telah dibunuh dengan tragis, sehingga ramai yang mengingati cerita tersebut sehingga kini.

Walaupun 16 tahun telah berlalu, namun kisah kematian kanak-kanak, Nurin Jazlin masih segar diingatan. Malah lebih menyedihkan, pada 11 September baru-baru ini, bapanya, Jazimin Abdul Jalil membuat satu hantaran yang menyentuh hati.

Jazimin yang masih merindukan anaknya, telah membuat satu pesanan hari lahir yang menyayat hati memandangkan tarikh tersebut merupakan hari kelahiran Nurin Jazlin.

Sekiranya Nurin Jazlin masih bernyawa pada ketika ini, kemungkinan dia akan menyambut hari lahirnya yang ke-24, bersama keluarga tercinta dan juga kawan-kawannya.

Namun pada ketika ini, hanya pesanan sahaja yang boleh dititipkan oleh ayahnya, sehingga perasaan rindu yang membuak itu tidak boleh diubati walaupun hanya melihat sekeping gambar.

Kredit: Jazimin AO/Facebook

Pesanan Jazimin terlihat ringkas, namun perasaan rindu itu masih boleh dirasai oleh mereka yang membacanya.

Happy Birthday kak ngah yang ke-24 tahun.

“Dipinjam pada 11 September 1999 dipulangkan kembali pada 17 September 2007. Selamat ulang tahun. Al-Fatihah,” memetik kapsyen yang ditulis pada Isnin lalu.

Hantaran itu turut disertakan dengan gambar Nurin Jazlin pada waktu kecil, yang dahulunya turut disebarkan sewaktu mencari sosok tubuhnya yang hilang.

Dalam gambar tersebut, Nurin Jazlin memaparkan senyuman manis yang menghiasi wajah serta rambutnya sedikit ikal, berwarna hitam dan pekat seperti warna anak matanya.

Siapa sangka, mereka yang tidak berkongsi pertalian darah turut merasai sebak apabila membaca pesanan yang dibuat oleh Jazimin.

Tidak dapat dibayangkan perasaan ayah yang kehilangan anak bertahun-tahun terpaksa menanggung rindu yang tidak berpenghujung, malah lebih ‘perit’ kewujudannya tiada ganti.

Rata-rata orang ramai menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Nurin dan mengakui kisah pemergiannya sukar untuk dilupakan walaupun bertahun lamanya.

BACA: Pesanan Emak, Gambar Kenangan Terakhir – Anak

Pembunuh masih bebas sehingga kini…

Untuk rekod, pada 20 Ogos 2007, Nurin Jazlin dilaporkan hilang kerana diculik ketika dia meninggalkan rumah sendirian untuk menuju ke pasar malam di Wangsa Maju.

Ibu bapa dan adik-beradik Nurin Jazlin mula cemas dan tertekan selepas mendapati anaknya tidak pulang ke rumah.

Bagaimanapun, pada pagi 17 September 2007, mayat Nurin Jazlin ditemukan dalam beg sukan di Petaling Jaya sekali gus mencetuskan tanda tanya orang ramai.

Penemuan tersebut kemudiannya membuatkan pihak berkuasa melakukan siasatan dan hasil pemeriksaan mendapati kanak-kanak tersebut dirogol dan dibunuh.

Pun begitu, sehingga kini identiti perogol dan pembunuh itu dipercayai masih bebas dan lebih parah, kes itu juga dilaporkan masih belum selesai sehingga ke hari ini.

Al-Fatihah untuk adik Nurin Jazlin.

Sumber: Jazimin AO/Facebook, Sinar Harian

Nurhanis

Suka menzahirkan perasaan melalui penulisan.