Indonesia Rancang Haram Transaksi Jual Beli Di Media Sosial
Timbalan Menteri Perdagangan Indonesia Jerry Sambuaga mengatakan negara itu bakal merancang untuk mengharamkan transaksi jual beli di media sosial mengikut peraturan perdagangan baharu, lapor BBC Indonesia.
Kebelakangan ini, beberapa pegawai kerajaan telah menggesa agar media sosial dan e-dagang dipisahkan selain mendakwa aplikasi media sosial seperti TikTok adalah amalan ‘monopoli’ yang mengancam perniagaan tempatan dan kecil.
Difahamkan juga, peraturan perdagangan semasa Indonesia tidak secara khusus meliputi transaksi langsung di media sosial.
“Media sosial dan dagangan sosial tidak boleh bercampur,” katanya sambil memberi contoh bahawa ramai penjual menggunakan ciri jualan langsung di platform TikTok untuk menjual barangan mereka.
Sebelum ini, Menteri Perdagangan Zulkifli Hasan memaklumkan bahawa undang-undang yang disemak akan memerlukan syarikat untuk memohon permit berasingan bagi media sosial dan e-dagang.
Menteri Koperasi, Teten Masduki juga menyatakan minggu lalu bahawa syarikat tidak seharusnya menggabungkan media sosial dan e-dagang, dan memberi amaran bahawa Tiktok boleh menjadi tempat untuk ‘monopoli’.
Menurut data Momentum Works, transaksi e-dagang di Indonesia menyumbang hampir RM243 bilion tahun lalu.
BACA: JPN Melaka Laksana Transaksi Tanpa Tunai Bermula 1 Jan
Bagaimanapun, rancangan pemerintah untuk melarang transaksi telah mendapat kritikan daripada TikTok, yang menegaskan bahawa pemisahan media sosial dan e-dagang ke dalam platform yang berbeza akan menyekat inovasi.
“Hampir dua juta perniagaan tempatan di Indonesia menggunakan TikTok untuk berkembang melalui perdagangan sosial.
“Memaksa media sosial dan e-dagang untuk dipisahkan kepada platform berbeza bukan sahaja akan menyekat inovasi tetapi juga akan membahayakan peniaga dan pengguna Indonesia,” kata Anggini Setiawan, ketua komunikasi TikTok Indonesia.
Anggini juga menyeru kerajaan Indonesia untuk menyediakan ruang persaingan yang sama untuk TikTok.
TikTok dimiliki oleh gergasi teknologi China, ByteDance dan syarikat itu berkata aplikasinya mempunyai 325 juta pengguna di Asia Tenggara yang aktif setiap bulan dengan 125 juta daripadanya berada di Indonesia.
Syarikat itu turut berkata pada masa ini terdapat dua juta perniagaan kecil di TikTok Shop di Indonesia.
Meta, yang merupakan induk kepada aplikasi Facebook dan Instagram yang turut mempunyai ciri pasaran di platformnya, masih belum memberi maklum balas berkaitan perkara ini.
Sumber: BBC Indonesia, Media Indonesia