Siakap Keli
tiga wanita warga emas maut
Gambar: Fb Komuniti Johor

Tiga Wanita Warga Emas Maut Dalam Kemalangan Tiga Kenderaan Di Segamat

Tiga Wanita Warga Emas Maut Dalam Kemalangan Tiga Kenderaan Di Segamat

SEGAMAT, 14 Sept (Bernama) — Tiga wanita warga emas maut manakala 11 mangsa lain termasuk empat kanak-kanak cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan Kilometer 167, Jalan Johor Bahru-Seremban, berhampiran Tenang Stesen, Labis, dekat sini, petang tadi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Labis, Pegawai Bomba Kanan II Zakaria Mohamad, berkata sebaik  menerima panggilan pada jam 5.16 petang, seramai 18 anggota BBP Labis dan Bandar Baru Segamat dikejarkan ke lokasi.

Katanya, ia turut melibatkan dua jentera FRT dan dua jentera EMRS dan setibanya di tempat kejadian didapati terdapat kemalangan melibatkan tiga kenderaan iaitu Perodua Alza, Toyota Hilux dan Honda Jazz.

“Tiga yang maut merupakan wanita dewasa, manakala tujuh yang lain terdiri daripada seorang lelaki dewasa, dua wanita dewasa, dua kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan cedera.

“Turut cedera dua lelaki yang menaiki Toyota Hilux dan seorang wanita dewasa serta seorang kanak-kanak perempuan yang menaiki Honda Jazz,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

BACA JUGA: Warga Emas Maut, Tujuh Cedera Dalam Kemalangan Enam Kenderaan

Menurut Zakaria, mangsa disahkan meninggal di tempat kejadian oleh pegawai perubatan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Bagi mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Daerah Segamat dan operasi ditamatkan pada jam 6.26 petang,” katanya.

Difahamkan,mangsa yang maut berusia dalam lingkungan 60-an dan 80-an dan berasal dari Simpang Renggam, Kluang dan Benut, Pontian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat, Supt Ahmad Zamry Marinsah, ketika dihubungi, berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan bagi mengetahui punca sebenar kemalangan.

“Kita sedang kenal pasti semua identiti mangsa dan punca kemalangan, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya

Sumber: BERNAMA

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?