Siakap Keli
hukuman mati penganggur
Kredit: BERNAMA

Mahkamah Persekutuan Kekal Hukuman Mati Penganggur Bunuh Tiga Anggota Keluarga Angkat

Mahkamah Persekutuan Kekal Hukuman Mati Penganggur Bunuh Tiga Anggota Keluarga Angkat

PUTRAJAYA, 19 Sept (Bernama) — Mahkamah Persekutuan hari ini mengesahkan sabitan dan hukuman mati terhadap seorang penganggur kerana membunuh tiga anggota keluarga angkatnya tujuh tahun lepas.

Panel tiga hakim terdiri daripada Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal dan Datuk Abu Bakar Jais memutuskan bahawa tiada merit dalam rayuan tertuduh.

Tengku Maimun, ketika membacakan keputusan sebulat suara itu, berkata berdasarkan keseluruhan bukti, mahkamah merumuskan sabitan terhadap tertuduh bagi kesalahan membunuh adalah selamat.

Beliau turut berkata mahkamah tidak berfikir untuk menggangu hukuman mati dikenakan terhadap tertuduh oleh Mahkamah Tinggi dan dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan.

Tertuduh, 33, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Melaka pada 16 Ogos 2019, yang menjatuhkan hukuman mati terhadapnya selepas didapati bersalah membunuh Mariah Baharim, 61, yang merupakan kakak ibu angkatnya, Hassan A. Wahab, 70, (suami Mariah) dan anak lelaki mereka Muhammad Taufeq Hassan, 22 tahun.

Mahkamah Tinggi juga mendapati tertuduh bersalah atas dua pertuduhan cuba membunuh anak perempuan Mariah, Noor Haslinda Diyana Hassan, 26, dan Nur Aqedah Aeina Hassan, 24 dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun, serentak, bagi setiap dua pertuduhan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Jalan Sidang Said di Bertam Malim, Melaka antara jam 5.50 pagi dan 6.15 pagi pada 25 Ogos 2016.

BACA: Kes 23 Penghuni Tahfiz Mati Terbakar: Mahkamah Tolak Rayuan Pemuda

Peguam perayu, Datuk Hazman Ahmad, berkata Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin (kini Hakim Mahkamah Rayuan) terkhilaf apabila menolak pembelaan kehilangan akal dari segi undang-undang mengikut Seksyen 84 Kanun Keseksaan walaupun laporan pakar psikiatri tidak mempertikaikan pembelaannya.

Mengenai hukuman, Hazman memohon mahkamah mempertimbangkan supaya hukuman mati digantikan dengan hukuman alternatif iaitu penjara bagi tempoh antara 30 hingga 40 tahun.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Khushairy Ibrahim, yang dibantu Aida Khairuleen Azli, berhujah bahawa tertuduh bergantung kepada laporan pakar psikiatri untuk menunjukkan dia berada di bawah pengaruh dadah ketika kejadian dan dia tidak tahu apa yang dia lakukan.

Beliau, bagaimanapun, berkata tiada bukti lain dikemukakan oleh tertuduh untuk menyokong alasan tersebut.

Beliau juga menggesa mahkamah mengekalkan hukuman mati dengan mengatakan bahawa perlakuan tertuduh adalah secara jelas tidak menghargai nyawa manusia.

Sumber: BERNAMA

Nurhanis

noktah