Siakap Keli
tilapia bakteria wanita california kaki tangan
Kredit: KRON

Makan Tilapia Dicemari Bakteria Berbahaya, Kedua-dua Kaki & Tangan Wanita Terpaksa Dipotong

Makan Tilapia Dicemari Bakteria Berbahaya, Kedua-dua Kaki & Tangan Wanita Terpaksa Dipotong

Seorang wanita di California kehilangan kedua-dua belah kaki dan tangan selepas makan beberapa ikan tilapia dicemari bakteria berbahaya yang tidak dimasak dengan sempurna.

Mangsa, Laura Barajas, 40, menjalani pembedahan membuang anggota badan tersebut pada Khamis lalu selepas terlantar di katil hospital selama sebulan.

“Perkara ini amat sukar untuk diterima. Ia sangat teruk. Benda ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja,” kata rakan Barajas, Anna Messina kepada media.

Makan tilapia dicemari bakteria, kedua-dua belah kaki & tangan wanita terpaksa dipotong

Messina berkata, Barajas, yang merupakan ibu seorang anak jatuh sakit selepas memakan ikan tilapia yang dibelinya di pasar awam.

Jelasnya, ikan tersebut dibeli di San Jose dan makanan laut itu dimasak sendiri di rumah oleh Barajas.

“Dia hampir kehilangan nyawa dan bergantung kepada alat bantu pernafasan. Barajas juga terpaksa diletakkan dalam keadaan koma.

“Jari jemarinya menjadi hitam, kaki dan bawah bibirnya juga menjadi hitam. Badannya dalam keadaan sepsis sepenuhnya dan buah pinggang Barajas juga tidak dapat berfungsi dengan baik,” kata Messina lagi.

Dijangkiti bakteria berbahaya, Vibrio vulnificus

Messina berkata, Barajas dijangkiti Vibrio vulnificus, iaitu sejenis bakteria berbahaya yang biasa ditemui di dalam makanan laut dan air laut.

Menurut Pakar Penyakit Berjangki, Dr. Natasha Spottiswoode, terdapat beberapa cara seseorang itu boleh dijangkiti bakteria berkenaan.

”Pertama, apabila pesakit makan makanan yang dicemari dengan bakteria tersebut. Kedua, jika terdapat luka-luka atau luka tatu terdedah dengan air yang mengandungi bakteria berkenaan,” katanya.

Ujarnya lagi, jangkitan tersebut menjadi lebih berbahaya kepada mereka yang memiliki sistem imunisasi yang lemah.

Menurut CDC, kira-kira 150 hingga 200 kes Vibro dilaporkan setiap tahun. Satu daripada lima orang yang dijangkiti dilaporkan meninggal dunia.

Kini, keluarga Barajas sedang menunggu jawapan berkenaan apa yang terjadi pada ahli keluarga mereka dan cara untuk meneruskan hidup pada masa yang akan datang.

Manakala, Messina melancarkan kempen di GoFundMe bagi menampung kos perubatan Barajas serta membeli peralatan untuk membantu rakannya untuk mengadaptasi dengan kehidupan baru kelak.

BACA: Bukan Saja-saja Letak, Rupanya Ini Maksud Sebenar Huruf M&M Pada Coklat Terkenal

Sumber: New York Post, Insider, People

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma