Siakap Keli
Perbuatan bakar Al-Quran
Kredit BERNAMA

Perbuatan Bakar Al-Quran Jelas Tindakan Islamophobia Untuk Cetus Kebencian – PM Anwar

Perbuatan Bakar Al-Quran Jelas Tindakan Islamophobia Untuk Cetus Kebencian – PM Anwar

NEW YORK, 22 Sept (Bernama) — Perbuatan membakar al-Quran, yang berlaku di beberapa negara, adalah tindakan Islamofobia yang jelas bertujuan untuk mencetuskan kebencian, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata tindakan tidak mengendahkan provokasi terang-terangan terhadap sesuatu agama adalah tidak bertanggungjawab dan menghantar mesej berbahaya kepada kemanusiaan.

Dalam Kenyataan Negara yang disampaikan pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78 di ibu pejabat PBB, Anwar berkata Malaysia bimbang dengan kemunculan “bentuk perkauman baharu” yang dicirikan oleh xenofobia, pemprofilan negatif dan stereotaip umat Islam.

“Ini dimanifestasikan dalam trend kebencian yang membimbangkan, sikap tidak bertoleransi, dan tindakan keganasan terhadap umat Islam dan kesucian mereka,” kata beliau.

Malaysia, katanya terkejut dengan pengesahan perbuatan ini di bawah pembelaan hak asasi manusia yang lemah.

BACA: Ramai Belum Tahu, Ni Cara Nak Dapat Minyak ‘Free’ Setahun Dari Petronas

Berbaju Melayu biru muda lengkap dengan samping bertenun benang emas, Perdana Menteri berkata dunia perlu menerapkan nilai penerimaan, toleransi dan saling menghormati, serta menggalakkan persefahaman dan kerjasama antara budaya, peradaban dan agama.

Pada masa yang sama, Anwar berkata setiap orang perlu menyatukan kepercayaan mereka bagi tujuan yang sama untuk menggalakkan persefahaman dalam kalangan rakyat dan mengukuhkan keamanan serta keharmonian dalam kalangan negara.

“Ini memang suatu yang sukar namun itulah sebabnya kita berada di sini. Apa yang kita perlukan ialah kepercayaan dan keyakinan untuk menjadikan dunia tempat yang lebih baik, kemahuan untuk bekerjasama di atas platform konsensus dan perpaduan,” kata beliau.

Selepas mesyuarat dua hala di sini pada Rabu, Anwar dan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan mengutuk sekeras-kerasnya pembakaran al-Quran dan wacana populis baru-baru ini yang menghasut supaya membenci Islam.

Dalam satu kenyataan bersama, kedua-dua pemimpin turut melahirkan kebimbangan terhadap kemunculan “bentuk perkauman baharu” yang dicirikan oleh xenofobia, pemprofilan negatif dan stereotaip terhadap umat Islam.

Sumber: BERNAMA

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka