Penyebar Fitnah Perlu Tampil Mohon Maaf – Radzi Jidin
SHAH ALAM — Susulan dakwaan terlibat dalam rasuah berhubung satu projek rundingan terus bernilai RM80 juta, Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin mahu penyebar fitnah untuk tampil membuat permohonan maaf.
Beliau berkata demikian menerusi satu muat naik di akaun Facebook rasmi miliknya hari ini.
Tegas bekas Menteri Kanan Pendidikan itu, beliau menyifatkan tuduhan yang dilemparkan tersebut adalah satu fitnah yang besar.
“Ini satu fitnah yang besar, telah disebarkan di seluruh negara dan menyebabkan apa yang berlaku pada hari ini.
“Pada yang penyebar fitnah, ya anda mungkin gembira kerana fitnah itu dapat disebar. Itu gembira di dunia, tapi menjawablah di akhirat kelak,” ujarnya dalam klip berdurasi tiga minit.
Jelasnya lagi, pertuduhan itu melibatkan penerbitan ataupun percetakan Buku J-Qaf prasekolah yang mempunyai kaitan antara sebuah syarikat dan isterinya.
Isteri Saya Bukan Kaum Kerabat – Radzi
Tambahan lagi, beliau turut menafikan bahawa isterinya, Datin Balkis Zakaria adalah keturunan kerabat diraja.
“Jadi saya nak jelaskan di sini, sebelum ini saya hanya tunjuk gambar bersama isteri saya. Isteri saya, nama beliau Balkis binti Dato’ Syeikh Haji Zakaria bin Haji Ahmad Wan Besar.
“Kalau sahabat-sahabat di Kedah, tentulah kenal salah seorang ulama besar yang menerbitkan buku dan kerap bersiar di radio ketika itu. Jadi, inilah isteri saya.
“Sebab itu apabila keluar tuduhan kata isteri Radzi ini kerabat Tengku, Saya ambil RM80 juta. Saya tahu itu adalah fitnah yang amat-amat besar,” katanya lagi.
BACA JUGA: Hidup Dan Matiku Hanya Kerana Allah SWT – Radzi Jidin
Selain itu, Radzi turut menyifatkan isterinya sama sekali tidak pernah terlibat dalam urusan kementerian.
“Isteri saya ni kalau nak tahu sahabat-sahabat semua, sewaktu saya di Kementerian Pedidikan sebagai contoh tidak pernah langsung terlibat dalam urusan kementerian.
“Masa COVID (sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan) sebagai contoh, kalau ditanya buka sekolah bila?
“Saya kata, tunggu pengumuman di TV. Itu merupakan satu contoh bahawa kami tegas dan tidak ada penglibatan isteri saya langsung,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau memohon agar penuduh dan penyebar fitnah agar segera memohon keampunan kerana memberikan kesan yang amat besar.
Mengulas lebih lanjut mengenai perkara itu, beliau berkata, tuduhan fitnah itu adalah lebih berat daripada membunuh.
“Saya doakan yang terbaik pada sahabat-sahabat semua dan saya mohon sahabat-sahabat semua doakan yang terbaik untuk saya dan keluarga,” katanya lagi.
Sumber: Facebook Dr Radzi Jidin