Siakap Keli
radzi jidin kerana Allah
Kredit Sinar Harian

Hidup Dan Matiku Hanya Kerana Allah SWT – Radzi Jidin

Hidup Dan Matiku Hanya Kerana Allah SWT – Radzi Jidin

Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin sebentar tadi telah membuat hantaran di laman Facebook miliknya yang dipercayai berkaitan dengan kekecohan persidangan di Dewan Rakyat petang tadi.

Dalam persidangan tersebut, kekecohan telah terjadi semasa penggulungan perbahasan usul Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Pergulungan usul itu telah dibuat oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada lewat petang tadi.

Menurut hantaran muat naik Mohd Radzi, beliau berkata bahawa solat, ibadah, hidup dan matinya hanya kerana ALLAH SWT.

“Sembahyangku, ibadahku, hidup dan matiku hanya kerana Allah! Aku tak takut kepada sesiapa selain ALLAH SWT,” tulisnya pada Selasa.

Memetik Sinar Harian, Dewan Rakyat dikatakan kecoh selepas Mohd Radzi (PN-Putrajaya) bangun dan meminta agar Anwar menarik balik kenyataannya.

Radzi telah meminta Yang Dipertua Dewan, Tan Sri Johari Abdul untuk mengarahkan Anwar menarik balik kenyataan yang didakwa sebagai sangkaan jahat terhadapnya.

Kekecohan itu berlarutan sehingga beberepa minit selepas beberapa pemimpin pembangkang turut bangkit mempertahankan Radzi.

Susulan itu, Johari kemudian akur dan meminta agar Anwar memberi penjelasan berhubung kenyataannya itu.

Namun penjelasan Anwar gagal memuaskan hati pembangkang yang menginginkan jawapan yang lebih jelas.

Radzi kemudiannya secara berterusan mendesak keadilan bagi pihaknya dan mendesak Johari agar meminta Anwar menarik balik kenyataannya itu.

Bagaimanapun, Johari menjelaskan bahawa Anwar telah memberi penjelasan yang sewajarnya dan meminta agar semua ahli dewan duduk.

BACA: Dah Cuba Macam-Macam Perniagaan, Pasangan Tak Sangka Idea Meniaga Nasi Lemak Myvi Merah Berhasil 

Jawapan daripada Johari itu telah membuatkan Radzi tidak berpuas hati dan terus bersuara sambil dilihat agak emosi.

Keengganan Radzi untuk memberi laluan kepada sesi penggulungan Anwar telah menyebabkan dia diarahkan keluar dewan oleh Johari.

Arahan keluar dewan itu sekali lagi telah menyebabkan kekecohan dan menyebabkan beberapa ahli pembangkang berdiri dan bersuara.

Akhirnya, ahli parlimen dari blok pembangkang seterusnya bertindak keluar dewan secara beramai-ramai sebagai tanda protes terhadap arahan tersebut.

Sumber: Sinar Harian

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka