Siakap Keli
nasi lemak dalam myvi
Kredit Siakap Keli

Dah Cuba Macam-Macam Perniagaan, Pasangan Tak Sangka Idea Meniaga Nasi Lemak Myvi Merah Berhasil

Dah Cuba Macam-Macam Perniagaan, Pasangan Tak Sangka Idea Meniaga Nasi Lemak Myvi Merah Berhasil 

Bagi mereka yang sudah berkahwin, untuk mencari rezeki bagi meringankan beban keluarga adalah menjadi keutamaan untuk meneruskan hidup. 

Tidak semua orang mempunyai mendapat peluang pekerjaan yang menjanjikan hasil yang lumayan. 

Demi menampung perbelanjaan keluarga yang terus meningkat, tindakan segera perlu dilakukan. 

Memikirkan hal tersebut, pasangan suami isteri ini tekad menjalankan perniagaan nasi lemak bagi mencari sumber rezeki untuk keluarga mereka. 

Mohammad Irwan Zahari, 37, bersama isteri Roselina Zulman,33, memilih meniaga nasi lemak sebagai punca rezeki utama mereka. 

Pasangan yang sudah berkahwin hampir 11 tahun itu memiliki seorang anak lelaki bernama Muhammad Qaleef Adam yang kini berusia 10 tahun.  

Perniagaan yang dikenali sebagai Nasi Lemak Myvi Merah menjadi tumpuan ramai khususnya penduduk Cyberjaya kerana keunikannya. 

Pasangan ini yang menggunakan kereta Myvi milik mereka sebagai ruangan perniagaan telah berjaya mencuri tumpuan penggemar nasi lemak berlauk. 

Kredit Siakap Keli

Meminati bidang perniagaan dari sekolah lagi

Menurut Irwan, dia yang sejak dari bangku sekolah sudah meminati bidang perniagaan telah mencuba pelbagai jenis perniagaan sebelum Nasi Lemak Myvi Merah ini menjadi tular. 

“Sebelum ni saya meniaga, banyak jenis perniagaan yang saya cuba. Sebelum nasi lemak ni, saya meniaga western. Tapi agak sukar disebabkan PKP Covid-19,” kata Irwan yang menceritakan pengalamannya. 

Perniagaan nasi lemak ini telah dijalankan pada awal tahun ini dan pada masa itu mereka masih menggunakan khemah dan meja seperti biasa. 

Namun begitu, disebabkan kawasan tersebut tidak dibenarkan meniaga, pihak Majlis Perbandaran Sepang (MPS) telah menyita barangan dan menyaman perniagaan mereka. 

Disebabkan kejadian itu, Irwan telah mencuba mencari solusi lain dengan mengubah suai kereta Myvi miliknya sebagai tapak perniagaannya. 

Kredit Siakap Keli

“Idea ni sebenarnya terlintas di fikiran. Macam sebelum ni meniaga guna meja tak boleh jadi saya tanya isteri saya dan dia jawab kita cuba meniaga dari dalam kereta. 

“Dalam kereta ni agak sempit, jadi saya cuba ubah suai dan cari kedudukan yang sesuai untuk susun lauk-lauk kami,” kata Irwan yang berkongsi bagaimana idea tersebut tercetus. 

Ceritanya lagi, pada awal perniagaan nasi lemak tersebut, ramai yang tidak mengetahui berkenaan perniagaan itu kerana ia dibuat hanya dari dalam kereta. 

Selepas beberapa bulan dan lama-kelamaan orang mula mengetahui tentang perniagaan tersebut dan menjadi tular di media sosial. 

Kredit Siakap Keli

Nasi Lemak Myvi Merah mula mendapat perhatian ramai

Jika pada waktu awal perniagaannya, hanya sebanyak 14 kilogram beras sahaja habis dalam tempoh sehari. 

Kini selepas tular, mereka perlu menyediakan sebanyak 21 kilogram beras setiap hari untuk pelanggan yang hadir dan beratur untuk merasai nasi lemak tersebut. 

“Setakat ini, kami guna beras 21 kilogram. Itu sahaja kami mampu, kerana kami masak hanya berdua sahaja. Jadi itu sahaja kami termampu buat,” kongsi Irwan lagi. 

Bercerita berkenaan lauk yang menjadi pilihan utama pelanggannya, lauk seperti ayam masak merah dan paru antara ‘best seller’ dalam perniagaan nasi lemaknya itu. 

Kredit Siakap Keli

Perniagaan Nasi Lemak Myvi Merah itu beroperasi pada setiap hari bekerja dari pukul 7.00 pagi sehingga 9.00 pagi atau hingga jualan habis. 

Pada hari minggu mereka akan bercuti dan berehat selepas sibuk berniaga setiap hari pada hari bekerja. 

Kata Irwan, kebiasaannya mereka akan bangun seawal 2 pagi untuk memasak dan menyediakan persiapan perniagaan tersebut. 

Menurut Roselina pula, untuk meniaga nasi lemak berlauk seperti ini dia harus kuat dan cekal dalam berusaha mencari rezeki. 

“Berapa kali jugalah sakit, tapi kita kena kuat dan niat kerana Allah. Meniaga untuk membantu keluarga,” kata Roselina.

Semoga perniagaan Nasi Lemak Myvi Merah terus maju jaya dan menjadi inspirasi dan contoh kepada peniaga di luar sana. 

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka