Siakap Keli
Mcdonald's sos cili
Kredit Facebook

“Kita Tidak Jual Sos Cili,” McDonald’s Siasat Pekerja Caj Sos Cili Kepada Pelanggan

“Kita Tidak Jual Sos Cili,” McDonald’s Siasat Pekerja Caj Sos Cili Kepada Pelanggan

McDonald’s Malaysia menjelaskan bahawa pihaknya sedang menjalankan siasatan dalaman berhubung isu caj sos cili peket yang dikenakan kepada pelanggan yang tular baru-baru ini, lapor Sinar Harian.

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatannya, Datuk Azmir Jaafar berkata, pihaknya sedang meneliti semula muat naik tular di laman sosial Facebook itu.

“Kita akan mendengar penjelasan daripada kedua-dua pihak iaitu pekerja dan juga pelanggan yang mendakwa dikenakan caj tersebut.

“Buat masa ini, kami tidak mahu komen lanjut dan ia masih dalam proses siasatan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Konvokesyen Kali Ke-4 Akademi Vokasional McDonald’s Malaysia.

Ketika disoal berkenaan caj sos cili tambahan jika diminta oleh pelanggan, Azmir memberitahu bahawa tiada sebarang caj akan dikenakan.

Sebaliknya, caj tambahan hanya dikenakan jika ia melibatkan perasa sos nuget sahaja.

“Kita tidak jual sos cili, tetapi pelanggan berpada-padalah juga. Takkanlah mereka minta sampai 20 sos cili peket, tetapi kadang-kadang kes ini berlaku,” ujar beliau.

Sebelum ini, tular di Facebook selepas seorang pelanggan memuat naik hantaran yang mendakwa McDonald’s mengenakan caj tambahan untuk sos cili peket.

Dalam muat naik tersebut, McDonald’s didakwa mengenakan caj RM10.60 untuk 10 peket sos cili di salah sebuah restorannya di Ayer Keroh, Melaka.

Kekurangan beras tempatan turut memberi kesan kepada McDonald’s

Dalam pada itu, Azmir turut mengulas mengenai isu kenaikan harga beras import dan kesukaran untuk mendapatkan beras tempatan.

“Di McDonald’s kita menggunakan beras tempatan 70 peratus, manakala selebihnya beras import. Kita akan berusaha memastikan bekalan ini sentiasa mencukupi,” jelas beliau.

BACA: Ramai Belum Tahu, Ni Cara Nak Dapat Minyak ‘Free’ Setahun Dari Petronas

Tambahnya, walaupun berdepan dengan kenaikan harga beras, namun pihaknya tidak menaikkan harga makanan dan masih mengekalkan harga yang sama.

“Harga menu di restoran McDonald’s mematuhi garis panduan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

“Kita juga masih mengekalkan Menu Rahmah dan mempelbagaikan lagi pilihan menu ini di restoran kami,” jelas beliau.

Sumber: Sinar Harian

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka