Siakap Keli
mahkamah kemaman
Kredit: BERNAMA

Mahkamah Batal Kemenangan Ahli Parlimen Kemaman Pada PRU15

Mahkamah Batal Kemenangan Ahli Parlimen Kemaman Pada PRU15

KUALA TERENGGANU, 26 Sept (Bernama) — Mahkamah Pilihan Raya Terengganu hari ini membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Kemaman Che Alias Hamid yang mewakili PAS pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Hakim Datuk Anselm Charles Fernandis berkata pihak pempetisyen iaitu Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil (pengundi) berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada PRU15.

Mahkamah turut memerintahkan pihak responden membayar RM30,000 kepada pempestiyen.

“Saya mendapati rasuah dilakukan atas pengetahuan responden. Saya mengisytiharkan keputusan pilihan raya umum Kemaman yang diadakan pada 19 Nov (tahun lepas) adalah terbatal… Wang yang diberi adalah untuk mendorong undi.

“(Jika ini inisiatif kerajaan negeri) Saya menganggap selepas pilihan raya ia masih boleh berlaku, tetapi ia dibuat beberapa hari sebelum pilihan raya umum. Semua ahli politik harus tahu kesannya.

“Tidak dinafikan kerajaan negeri masih wujud pada masa itu (kerana PRU dan Pilihan Raya Negeri diadakan secara berasingan) tetapi itu tidak bermakna program seperti itu (agihan dana) perlu diadakan begitu hampir dengan tarikh PRU,” katanya.

Hakim itu berkata program tersebut perlu diadakan selepas atau sebelum tempoh kempen bagi mengelakkan unsur dorongan.

Program rasmi yang dikatakan dianjurkan kerajaan negeri Terengganu itu termasuk Bantuan i-Belia, i-Siswa dan sumbangan kepada orang kurang upaya serta asnaf.

Pempetisyen diwakili peguam Datuk Hafarizam Harun, Amin Othman, dan Norhazira Abu Haiyan, manakala Che Alias diwakili peguam Saifuddin Othman dan Wan Rohimi Wan Daud.

Sementara itu, Hafarizam ketika ditemui pemberita selepas prosiding itu berkata hakim telah memanggil peguam utama kedua-dua belah pihak ke dalam kamar dan memaklumkan bahawa beliau tidak akan memberi apa-apa penangguhan sehingga 3 Okt ini.

Sumber: BERNAMA

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana