Sudah Tertulis, Berkahwin 35 Tahun Kemudian, Pengantin Kongsi Tarikh Lahir & Bersalin Di Hospital Sama
Satu pasangan pengantin di Amerika Syarikat yang berkongsi tarikh hari lahir mempunyai kisah menarik apabila mereka disatukan pada hari jadi mereka yang ke-35, Rabu lepas.
Namun, kisah unik mereka tidak terhenti di situ sahaja. Rupa-rupa pasangan ini juga dilahirkan di hospital dan berkongsi bilik bayi yang sama pada 35 tahun lepas.
Kisah takdir yang unik antara Joshua dan Elizabeth Colbert itu dikongsikan oleh portal berita Fox 9 dan pantas menjadi viral di media sosial.
Pasangan itu disatukan dalam majlis indah dengan latar suasana di bawah kanopi pokok di Pinewood Weddings & Events di Cambridge.
Difahamkan, mereka telah mula mengenali hati budi masing-masing dalam tempoh lima bulan setengah yang lalu. Namun, hanya mengetahui bahawa mereka mempunyai kaitan yang sangat rapat sejak sekian lama selepas berkenalan.
Menurut ayah Elizabeth, anak perempuannya mengenali Joshua menerusi aplikasi dating.
Elizabeth yang berkongsi mengenai kisah unik mereka berkata, semua bermula apabila dia dan Joshua berkongsi latar belakang dan sejarah hidup masing-masing.
Dia tidak menyangka apabila mendapati mereka berdua menghadiri sekolah Kristian yang sama di Blaine, Minnesota ketika kecil. Elizabeth mendaftar di sekolah itu selama setahun sahaja sebagai murid tadika.

“Kami dapat mengesahkan bahawa kami bergraduasi pada tahun yang sama. Jadi saya bertanya siapa guru-guru dia di sekolah itu dan dia beritahu guru-guru saya ketika itu adalah guru-gurunya juga,” kata Elizabeth Colbert.
Elizabeth kemudian mencari foto kenangan yang diambil di dalam kelas mereka ketika itu. Dia juga berjaya menemui semula video graduasi mereka.
Menariknya, ibu Elizabeth yang merakam video kenangan itu turut menghalakan lensa kamera ke arah Joshua dan zoom in.
Pasangan tersebut mendapati bahawa mereka memiliki tarikh lahir yang sama dan dilahirkan di hospital yang sama
Apabila membuat pencarian lanjut mengenai Joshua secara atas talian, Elizabeth ternyata amat terkejut apabila mendapati mereka berkongsi tarikh lahir yang sama.
“Saya melihat tarikh 13/9/88, dan saya bagaikan tak percaya. Ini tak masuk akal. Itu tarikh lahir saya,” jelasnya.
Kedua-duanya lahir pada hari yang sama, pada tahun yang sama dan di hospital yang sama iaitu, Hospital Coon Rapids.
Selepas Joshua melamarnya dan mereka perlu memilih tarikh perkahwinan, hanya satu tarikh yang dirasakan sesuai.
“Kami telah berada dalam hospital yang sama ketika dilahirkan dan 35 tahun kemudian, kami berkahwin pada hari lahir kami.
“Oleh itu, saya rasakan bahawa ini adalah satu perkara yang istimewa,” kata Joshua.
Kedua-duanya telah melalui pengalaman hidup yang berbeza sebelum ini. Joshua merupakan anggota tentera dan pernah berkhidmat di Iraq. Manakala, Elizabeth pula membesarkan kedua-dua anaknya.
Walau bagaimanapun, mereka percaya bahawa takdir sudah ditetapkan agar mereka boleh disatukan pada masa yang sesuai.

“Ia merupakan cinta pandang pertama. Seperti dia berjalan melepasi pintu dan saya merasakan bahawa dialah orangnya,” ujar Joshua lagi.
Mereka turut berjaya menjejaki guru tadika mereka dan menjemputnya untuk menghadiri majlis perkahwinan mereka.
“Kini, kami dapat bersama antara satu sama lain sehingga hari terakhir kami,” harap Elizabeth.
BACA: Ada Tupat Sotong, Beef Skewer & Banyak Lagi, Lelaki Nekad Jual Lokching Lain Dari Yang Lain
Sumber: Fox 9