Treler Bawa Muatan Susu Formula Terbakar
HULU SELANGOR — Dalam satu kejadian di Kilometer 428, Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Bukit Beruntung hari ini, sebuah treler membawa muatan susu formula hangus dalam satu kebakaran, lapor Sinar Harian.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Penguasa Kanan Bomba I, Ahmad Mukhlis Mukhtar, pada jam 2.48 petang, pihaknya mendapat panggilan kecemasan berhubung insiden berkenaan.

“Seramai lapan anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Sentosa serta Rawang dikejarkan di lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, kita mendapati sebuah lori jenis Volvo terbakar 90 peratus, namun tidak melibatkan mangsa,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Ahmad Mukhlis, kenderaan berat itu sedang menuju ke Bukit Beruntung dari Shah Alam selepas siasatan awal dilakukan.
“Kebakaran dipercayai bermula dari bahagian tayar belakang kenderaan berat itu sebelum merebak ke bahagian lain.
“Seorang lelaki berusia 31 tahun yang juga pemandu kenderaan itu terselamat dalam kejadian itu. Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 3.30 petang,” maklumnya.
BACA JUGA: Dato Awie Tak Tahan Sebak Lihat Adik Amir ‘Tarik’ Lagu Sesungguhnya
Terdahulu, sebuah treler dilaporkan terbakar selepas terlanggar penghadang jalan di Kilometer (km) 259.6 Lebuhraya Utara Selatan arah Selatan, berhampiran susur masuk Plaza Tol Seremban-Port Dickson, lapor Bernama.
Kejadian itu menyebabkan pemandu dan penumpang treler itu rentung akibat tersepit.
Ketua Polis Daerah Seremban ACP Nanda Maarof berkata kejadian berlaku sekitar jam 9 pagi. Mangsa yang maut adalah seorang lelaki berusia 48 tahun, manakala penumpang dipercayai isterinya berusia lingkungan 40-an.
Tambahnya, treler itu membawa muatan biji plastik.
“Siasatan awal mendapati treler yang dalam perjalanan dari Klang menuju ke Senawang itu dipercayai telah hilang kawalan dan terbabas ke lorong kanan, sebelum melanggar penghadang jalan serta terbakar sepenuhnya.
“Akibat insiden berkenaan, berlaku kesesakan kira-kira 6 kilometer (km), katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, mayat mangsa dihantar ke Bahagian Forensik Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk bedah siasat. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sumber: Sinar Harian