Penduduk Di Daerah Petaling Dijangka Hidup Paling Lama – Jabatan Perangkaan Malaysia
Data terbaru yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan bahawa penduduk di daerah Petaling, Selangor dijangka hidup paling lama sehingga 80.5 tahun, lapor Sinar Harian.
Data terbaru itu diperolehi berdasarkan Jadual Hayat Ringkas Malaysia 2021-2023 oleh DOSM.
Selain itu, penduduk daerah Samarahan Sarawak pula dijangka hidup 80.2 dan diikuti oleh daerah Kalabakan, Sabah yang dianggarkan hidup 78.9 tahun.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, peningkatan jangkaan ini disebabkan oleh jumlah kematian pada tahun 2023 yang telah bertambah baik.
Ia telah bertambah baik berbanding 2021 dan 2022 di mana ketika itu berlakunya lebihan kematian disebabkan pandemik Covid-19.
Dalam masa yang sama, daerah Kecil Lojing, Kelantan pula telah mencatatkan jangkaan hayat ketika lahir yang terendah pada 2023 dengan catatan 62.8 tahun.
“Secara keseluruhan, 31 daripada 156 daerah melepasi jangka hayat di peringkat nasional. Jangka hayat ketika lahir tertinggi bagi lelaki adalah di Petaling, Selangor (78.9 tahun). Manakala perempuan di Kalabakan, Sabah (82.8 tahun),” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Tambahnya, seorang bayi yang lahir pada tahun 2023 secara purata dijangka hidup sehingga 74.8 tahun.
Secara purata, seorang bayi perempuan dijangka hidup lebih lama dengan catatan 77.4 tahun berbanding bayi lelaki iaitu 72.5 tahun.
“Jangkaan hayat ketika lahir tertinggi bagi lelaki dan perempuan mengikut negeri bagi tempoh 2021 hingga 2023 dicatatkan di Selangor. Manakala Terengganu mencatatkan jangkaan hayat ketika lahir terendah pada tempoh yang sama.
“Terdapat lima negeri yang mempunyai jangkaan hayat melebihi jangkaan hayat paras nasional pada 2021 hingga 2023 iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan dan Sarawak,” katanya.
Menurut beliau lagi, jangkaan hayat ketika lahir ini telah mencatatkan peningkatan sebanyak 1.0 tahun pada 2023 berbanding 2022 yang lalu.
BACA: Dah Cuba Macam-Macam Perniagaan, Pasangan Tak Sangka Idea Meniaga Nasi Lemak Myvi Merah Berhasil
Dalam pada itu, beliau berkata bahawa seorang lelaki mencapai usia 15 dan 60 tahun pada 2023 dijangka hidup selama 58.3 tahun dan 18.3 tahun lagi.
“Ini bermakna, lelaki yang berumur 15 dan 60 tahun pada 2023 masing-masing dijangka hidup sehingga 73.3 tahun dan 68.3 tahun. Sebaliknya, wanita dalam kumpulan umur yang sama dijangka hidup selama 63.1 tahun dan 21.1 tahun lagi. Ia menghasilkan jangka hayat masing-masing 78.1 tahun dan 81.1 tahun,” ujarnya.
Jelasnya, kaum Cina terus mencatatkan jangkaan hayat tertinggi ketika lahir pada 2023 dengan catatan 77.0 tahun.
Bagi jangka hayat ketika lahir terendah pula dicatatkan oleh kaum India dengan 71.4 tahun.
Sumber: Sinar Harian