Siakap Keli
Kuih Kelantan Manis
Kredit Shutterstock

Betul Ke Kuih Kelantan Manis? Ini 5 Jenis Kuih Cik Siti Wan Kembang Yang Rendah Kalori

Betul Ke Kuih Kelantan Manis? Ini 5 Jenis Kuih Negeri Cik Siti Wan Kembang Yang Rendah Kalori

Negeri Kelantan terkenal dengan pelbagai jenis menu yang sangat menarik dan mempunyai unsur tradisional.

Daripada menu berat sehinggalah menu ringan seperti kuih muih yang boleh didapati di gerai-gerai mahupun pasar di negeri tersebut.

Tapi betul ke ramai orang kata masakan Kelantan ni manis-manis dan tinggi kalori?

Untuk menjawab persoalan itu, mari kita ikuti perkongsian daripada Hello Doktor berkenaan topik tersebut.

Yang mana satu kuih Kelantan kegemaran anda? Pasti ramai yang menggemari kuih akok dan ada juga yang lebih suka kuih tradisional Kelantan lain seperti nekbat. Kuih Kelantan manis? Ya, kebanyakannya agak manis namun ada juga yang tidak berapa manis dan rendah kalori. Ini antara jenis kuih tradisional negeri Cik Siti Wan Kembang yang lebih sihat untuk anda. 

5 jenis kuih Kelantan yang sedap dan rendah kalori

Negeri-negeri pantai timur amat dikenali ramai sebagai negeri yang menarik dengan pelbagai tarikan pelancongan.

Ini termasuklah tarikan makanan tradisi yang kebanyakannya agak sukar dijumpai di bandar-bandar besar. Kesempatan mengunjungi negeri pantai timur seperti Kelantan memberikan peluang kepada kita untuk merasai kuih tradisional Kelantan.

Berikut adalah antara pilihan jenis kuih negeri Cik Siti Wan Kembang yang lebih sihat berserta fakta nutrisinya.

#1. Kuih akok

Kredit Shutterstock

Kuih akok biasanya diperbuat daripada telur itik sebagai ramuan utama.

Ia mempunyai kalori antara 85 hingga 100 bergantung kepada saiz bagi satu biji.

Selain itu, ia mempunyai 94% kandungan protein, selebihnya adalah karbohidrat dan juga lemak. Jika anda membuat sendiri di rumah, kurangkan penggunaan gula dalam ramuannya. 

#2. Beko pandan

Walaupun mempunyai kandungan gula, beko pandan biasanya tidaklah terlalu manis berbanding kuih-muih Kelantan yang lain.

Kuih ini diperbuat daripada tepung pulut, telur, parutan kelapa, air daun pandan dan sedikit minyak masak.

Ia juga dibakar ketika proses memasak, membuatkannya lebih sihat. Untuk menjadikannya lebih kurang kalori, kurangkan penggunaan gula dan tepung pulut, serta lebihkan sedikit kelapa parut

#3. Kuih Kelantan: Belebat ubi stelo

Menarik bukan namanya? Ia seolah-olah kuih lepat, namun teksturnya lebih basah, berlemak dan mempunyai potongan ubi stelo atau ubi keledek.

Biasanya, potongan ubi berwarna ungu dan oren dicampurkan sekali ketika membuat kuih ini untuk menjadikannya lebih menarik.

Seperti kuih lepat, ia juga dimasak dengan cara dikukus. Oleh itu, nilai kalorinya juga lebih rendah berbanding kuih yang lain.

Namun, memandangkan kandungan karbohidratnya agak tinggi, anda tidak boleh memakannya dalam kuantiti yang banyak. 

#4. Kuih tahi itik

Walaupun namanya agak kurang menarik, namun ramai mengakui keenakan kuih ini. Ia diperbuat daripada putih telur, santan, gula, tepung pulut dan juga tepung beras.

Kesemua bahan ini dicampur dan dimasak sehingga agak kental sebelum dibentuk-bentuk. Rasanya manis dan sedikit berlemak.

Untuk menjadikannya lebih sihat, kurangkan penggunaan gula jika anda membuatnya sendiri di rumah. 

#5. Kuih Kelantan: Pulut panggang

Kredit Shutterstock

Pulut panggang diperbuat daripada pulut yang diisi dengan inti ikan bersama kelapa dengan rasa sedikit berlemak dan manis.

Di negeri Kelantan, inti pulut panggang biasanya berwarna merah keperangan manakala di negeri Terengganu, ia berwarna kelabu.

Kuih ini mempunyai kandungan nutrisi yang agak lengkap iaitu karbohidrat daripada pulut, protein daripada isi ikan dan juga vitamin daripada kelapa parut.

Namun kalorinya agak tinggi iaitu sekitar 200 kalori bagi sebiji pulut panggang. Oleh itu, makanlah dengan berpada-pada.

Kesimpulan

Proses pembuatan manisan atau kuih-muih biasanya akan melibatkan penggunaan gula.

Namun, anda boleh memilih untuk mengambil jenis kuih seperti di atas yang kurang kandungan karbohidrat, gula atau lemak dalam pembuatannya.

Selain itu, bagi mengurangkan kalori harian, hadkan kuantiti kuih yang ingin dimakan agar tidak berlebih-lebihan.

Sumber: Hello Doktor

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka