Dipercayai Sebab Cemburu, Suami Tikam Isteri Hingga Maut
Seorang lelaki yang juga merupakan pesara tentera bertindak menikam isterinya hingga maut, dipercayai angkara cemburu, dalam kejadian yang berlaku di sebuah rumah di Jalan Padang Nyu, Arau, Perlis hari ini.
Menurut Sinar Harian, lelaki berkenaan kemudian menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis selepas kejadian itu.
Dalam kejadian yang berlaku pada pukul 6 pagi, mangsa berusia 31 tahun merupakan jururawat di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) meninggal dunia selepas ditikam dalam kejadian itu.
Ketua Polis Daerah Arau, Superintenden Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, suspek yang berusia 38 tahun dipercayai mengesyaki bahawa mangsa berlaku curang.
Mereka berdua dipercayai bergaduh di ruang tamu rumah sebelum mangsa hendak keluar ke tempat kerja.
Suami tikam isteri dipercayai sebab cemburu
“Polis mengesyaki pergaduhan berlaku semasa mangsa ingin keluar bekerja kira-kira jam 6 pagi.
“Semasa pergaduhan berlaku, suspek telah menikam mangsa dengan sebilah pisau di bahagian dada sebelah kiri,” katanya.
Selepas itu, suspek bertindak mengalihkan mangsa yang tidak sedarkan diri ke dalam bilik tidur rumah berkenaan.
Jelas Mohsin lagi, suspek seterusnya sempat menghantar dua anak mereka, berusia 10 dan lapan tahun ke rumah pengasuh sebelum menyerah diri.
Suspek menyerah diri pada pukul 10 pagi.
“Selepas suspek menyerah diri, polis melakukan siasatan ke atas rumah dan menemui mangsa yang ditutup dengan selimut tebal di dalam bilik tidur utama.
“Siasatan turut menemui satu kesan tikaman pada bahagian dada kiri mangsa sedalam kira-kira dua sentimeter.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah untuk bedah siasat,” kata Mohsin lagi.
Hasil pemeriksaan ke atas suspek kemudian mendapati suspek positif dadah. Suspek ditahan dan kes disiasat lanjut dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Permohonan reman ke atas suspek pula akan dibuat di Kompleks Mahkamah Kangar esok (pada Ahad),” kata beliau.
BACA: Ingatkan “Adopt” Kucing Biasa, Lelaki Tak Sangka Kucing Dibela Sebenarnya Kucing Spesis “Bobcat”
Sumber: Sinar Harian