Siakap Keli
asia dota2 gangsa
Kredit: Majlis Sukan Negara Malaysia/Facebook

Sukan Asia: Dota2 Sumbang Gangsa, Kecewa Terlepas Emas

Sukan Asia: Dota2 Sumbang Gangsa, Kecewa Terlepas Emas

HANGZHOU, 2 Okt (Bernama) — Kem e-sukan berjaya membutirkan satu lagi pingat buat Kontinjen Malaysia di Sukan Asia, kali ini menerusi permainan Dota2 selepas menewaskan Kyrgyzstan 2-0 di Pusat E-Sukan Hangzhou, hari ini.

Pasukan yang terdiri daripada Chan Kok Hong, Cheng Jin Xiang, Thiay Jun Wen, Ng Wei Poong dan Yap Jian Wei itu, berjaya mengatasi Amanbek Iunusali Uulu, Abdyrakhman Raiapov, Kyialbek Taiirov, Bektur Kulov dan Bakyt Emilzhanov pada penentuan gangsa hari ini.

Pasukan Malaysia yang menyasarkan emas, terpaksa berpuas hati dengan gangsa selepas tewas kepada tuan rumah China 1-2 pada aksi separuh akhir semalam, manakala Kyrgyzstan kalah kepada Mongolia 0-2.

Jun Wen, yang dikenali sebagai JT, berkata beliau dan rakan sepasukan tidak berpuas hati dengan pencapaian gangsa, namun terpaksa akur dengan keputusan tersebut.

“Pasukan ini bagus, kami patut terus berusaha memajukan diri untuk menjadi pasukan yang lebih baik untuk bertanding dalam pertandingan selepas ini. Kami boleh jadi lebih baik daripada gangsa,” katanya selepas perlawanan.

Sementara itu, jurulatih skuad negara Chai Yee Fung berkata kekurangan masa persiapan telah menjejaskan peluang anak buahnya untuk meraih emas.

Beliau mewakili pasukan turut berjanji akan memperbaiki pencapaian pada temasya seterusnya.

Sebelum ini pasukan Arena of Valor mencipta sejarah menjadi pemenang pingat sulung e-sukan negara di Sukan Asia, iaitu pingat perak, selepas tewas kepada China yang turun selaku pasukan pilihan, Selasa lepas.

Ini merupakan kali pertama e-sukan dipertandingkan sebagai acara berpingat di pentas Sukan Asia selepas menjadi sukan demonstrasi pada edisi 2018 di Jakarta-Palembang, Indonesia.

Sumber: BERNAMA

BACA: Kuartet 4x100M Lolos Ke Final Sukan Asia

Nurhanis

Mungkin tidak lagi menjadi penulis, tetapi jejakku masih di sini

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.