Siakap Keli
azeem fahmi gangsa sukan asia
Gambar: RTM

Gangsa 100m Sukan Asia Azeem Fahmi Tamatkan Penantian 41 Tahun Negara

Gangsa 100m Sukan Asia Azeem Fahmi Tamatkan Penantian 41 Tahun Negara

Pelari pecut sensasi negara, Azeem Fahmi sebentar tadi menghadiahkan gangsa dalam acara 100 meter lelaki Sukan Asia di China.

Lebih manis, kejayaan atlet berusia 19 tahun itu sekaligus menamatkan penantian 41 tahun negara untuk mendapat sebutir lagi pingat dalam acara yang sama.

Kali terakhir Malaysia mendapat pingat dalam acara tersebut adalah melalui legenda, Datuk Rabuan Pit yang muncul juara dalam edisi 1982 di New Delhi, India.

Gangsa Azeem Fahmi di Sukan Asia tamatkan penantian 41 tahun negara

Azeem berjaya mencatatkan masa 10:11 saat, pelari ketiga melintasi garisan penamat di belakang pelari China dan Thailand.

Pingat perak dimenangi oleh Puripol Boonson dengan catatan masa 10:02 saat manakala pingat emas milik pelari tuan rumah, Xie Zhenye dengan catatan masa 9:97.

Zhenye menjadi satu-satunya pelari yang menamatkan masa dibawah 10 saat dalam acara tersebut.

 

Terdahulu, perlumbaan terpaksa dimulakan semula selepas seorang lagi wakil Thailand, Saraoat Dapbang melakukan false start. Ia menyaksikan pelari tersebut tersingkir daripada acara tersebut.

Selain Azeem, seorang lagi atlet negara, Shereen Samson Vallabouy turut menghadiahkan negara pingat gangsa melalui acara 400 meter wanita.

Shereen mencatatkan masa 52:58 saat dalam pusingan akhir.

Beliau menamatkan larian di belakang dua wakil Bahrain yang memenangi emas dan perak.

Setakat 10.45 malam tadi, Malaysia berada di kedudukan ke-12 dalam carta pungutan pingat. Malaysia mengumpul sebanyak tiga emas, tiga perak dan 12 gangsa untuk berada satu anak tangga di atas negara jiran, Indonesia.

Antara acara-acara yang menyumbang pingat untuk negara hari ini termasuklah daripada acara terjun dan gymnastik.

Sebelum ini, Ketua Kontinjen Negara (CDM), Datuk Chong Kim Fatt mengumumkan sasaran untuk membawa pulang sekurang-kurangnya 27 pingat daripada Sukan Asia edisi kali ini.

Beliau tidak mengumumkan jumlah pingat mengikut warna, namun ia adalah sasaran pingat keseluruhan daripada 13 jenis sukan. Malaysia menghantar atlet untuk menyertai 22 daripada 40 sukan yang dipertandingkan.

Tuan rumah terus cemerlang mendahului carta dengan mengumpul sebanyak 114 pingat emas, 68 perak dan 34 gangsa. Manakala Jepun dan Korea Selatan mengikuti di tangga kedua dan ketiga.

Thailand menjadi negara Asia Tenggara dengan pungutan pingat terbaik setakat ini apabila berada di tangga keenam dengan lapan emas, empat perak dan 14 gangsa.

BACA: ‘Tergantung’ Bawah Landasan, Sky Train Pertama China Mula Beroperasi

Sumber: Astro Awani

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.