Putrajaya, 3 Oktober – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan kerjasama rakan strategik Perbadanan menganjurkan Festival Budaya Putrajaya 2023 bermula pada 28 September – 1 Oktober 2023, bertempat di Dataran Putrajaya, Presint 3.
Penganjuran program ini adalah bermatlamat untuk mendekatkan masyarakat umum dan antarabangsa dengan kegiatan seni budaya dan pelancongan Malaysia serta mempromosi pelbagai produk pelancongan yang terdapat di negara ini, khususnya di Putrajaya.
Majlis disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Bin Ibrahim, Perdana Menteri. Hadir sama dalam majlis ini ialah YB Dato Sri Tiong King Sing, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya serta YBhg. Dato’ TPr. Fadlun bin Mak Ujud, Presiden Perbadanan Putrajaya.
Bertemakan “Perpaduan Melalui Seni Budaya”, program ini mengukuhkan semangat untuk hidup dalam harmoni dan semangat perpaduan melalui seni, budaya dan warisan. Festival berskala mega sebegini di Putrajaya adalah sebagai salah satu usaha MOTAC dalam mempromosi produk pelancongan serta keunikan program yang mampu menarik tumpuan pelancong.
Antara pengisian menarik yang telah diatur sepanjang empat hari program ialah Putrajaya Culture Fun Run & Gathering yang menampilkan acara larian 5km dengan berpakaian tradisonal, persembahan pentas bercirikan tradisional dan kreasi dengan suntikan semangat kemerdekaan, penjagaan seni (art care), pencungkilan bakat, pameran, demonstrasi makanan warisan, penjualan produk kraf serta pertandingan serta kuiz seni budaya dan pelancongan.
Penganjuran Festival Budaya Putrajaya pada kali ini juga menyaksikan satu lagi catatan sejarah tercipta dalam Malaysia Book of Records melalui penganjuran Konsert Mega Dikir Barat & Paluan Rebana berskala antarabangsa pertama diiringi Orkestra Tradisional Malaysia.
Lima segmen persembahan dipertontonkan kepada khalayak yang hadir pada malam ini iaitu Paluan Buka Panggung dan Bertabuh, Persembahan Lagu Jogho, Battle Tukang Karut, Lagu Rampaian serta Dikir Kreasi diiringi oleh 230 pemain rebana dan 200 orang awak-awak. Antara artis jemputan yang memeriahkan konsert mega ini ialah Syamel, Liza Hanim, Bunga Isme, Amsyar Leee, Nadeera serta persembahan tarian-tarian etnik tradisional pelbagai kaum.
Turut menarik perhatian ialah penganjuran Coffee Republic dengan penglibatan 80 gerai vendors pelbagai jenama kopi dan menu pilihan juadah serasi kopi yang dibawa khas oleh Perbadanan Putrajaya. Terdapat juga pertandingan barista Latte Art Amatur dan pertandingan kopi tarik yang menarik perhatian pengunjung.
Penganjuran festival ini diharapkan dapat mengangkat potensi destinasi pelancongan, seni dan budaya Malaysia bukan sahaja kepada masyarakat tempatan bahkan di mata dunia.