Siakap Keli
liverpool VAR spurs
Gambar: AFP

Audio Perbualan Pengadil & VAR Ketika Gol “Offside” Liverpool vs Spurs Didedahkan

Audio Perbualan Pengadil & VAR Ketika Gol “Offside” Liverpool vs Spurs Didedahkan

Minggu lepas, peminat bola sepak khususnya Liga Perdana Inggeris (EPL) disajikan dengan kontroversi gol pendahuluan Liverpool menentang Tottenham Spurs dibatalkan kerana offside.

Gol cantik jaringan Luis Diaz yang menerima lorongan daripada Mohamed Salah itu dinafikan selepas disemak menerusi Sistem Video Bantuan Pengadil (VAR).

Bagaimanapun, ia pantas menjadi pertikaian kerana semakan yang dibuat terlalu pantas. Manakala rakaman yang ditunjukkan pula jelas menunjukkan Luis Diaz dalam kedudukan onside ketika menerima bola daripada Salah.

Insiden berkenaan setuerusnya menjadi perdebatan awam, lagi-lagi dalam kalangan pundit di stesen penyiaran antarabangsa. Ramai yang mempertikaikan keputusan tersebut dan menganggap pengadil membuat keputusan yang salah.

Professional Game Match Officials Limited (PGMOL) yang bertanggungjawab mengadili semua perlawanan EPL kemudian mengeluarkan kenyataan berhubung kejadian berkenaan.

Audio perbualan pengadil & VAR Liverpool vs Spurs didedahkan

Dalam kenyataan itu, PMGOL mengakui situasi yang berlaku berpunca daripada ‘kesilapan manusia yang signifikan’ dan seterusnya memohon maaf kepada semua pihak yang terkesan.

Liverpool kemudian difahamkan telah mendesak agar audio perbualan antara pengadil dan pengendali VAR ketika insiden itu berlaku dilepaskan kepada umum.

Justeru, PGMOL telah melepaskan rakaman audio berkenaan. Bersama audio tersebut, PMGOL turut mengeluarkan kenyataan menjelaskan apa yang berlaku.

”Seperti mana-mana situasi gol, pasukan VAR akan memeriksa setiap aspek sesuatu jaringan. Selepas keputusan pengadil tidak membenarkan gol (Luis Diaz) kerana offside, fasa dan proses semakan bermula dan dijalankan dengan betul oleh pasukan VAR.

”Pemilihan titik sepakan (hantaran daripada Salah) juga tepat dan penggunaan garisan tunggal 2D pada kaki belakang pertahanan lawan juga diletakan pada posisi yang benar.

”Imej yang dihasilkan kemudian dengan jelas menunjukkan Luis Diaz pada kedudukan onside, tanpa perlunya garisan kedua ditambah. Bagaimanapun, ketika detik-detik kehilangan tumpuan dan fokus, pegawai VAR tidak menyedari bahawa keputusan dibuat pengadil di padang adalah offside.

”Seterusnya, berlaku kesilapan komunikasi apabila pegawai VAR berkata ‘Semakan selesai’, yang sekali gus mengesahkan keputusan pengadil di padang. Pegawai VAR itu membuat keputusan berkenaan tanpa berunding terlebih dahulu dengan pembantu pegawai VAR (AVAR).

”Perlawanan kemudian dimulakan dengan segera. Selepas beberapa saat, pengendali tayangan semula (Replay Operator) dan AVAR memaklumkan semakan sudah selesai dan meminta pegawai VAR membuat pemeriksaan.

”Mereka juga memaklumkan bahawa keputusan asal di atas padang adalah offside. Komunikasi di bilik VAR ketika ini bagaimanapun tidak berlaku dengan pengadil di padang.

”Pasukan VAR kemudian membuat pertimbangan sama ada perlawanan boleh dihentikan pada fasa ini, bagaimanapun mereka membuat kesimpulan bahawa protokol dan undang-undang VAR tidak membenarkan perkara tersebut.

”Mereka membuat keputusan bahawa campur tangan tidak boleh dilakukan kerana perlawanan sudah pun dimulakan semula,” kata PMGOL.

Menurut kenyataan itu lagi, PMGOL akan menilai semula SOP pengendalian VAR dan mengambil tindakan yang sepatutnya bagi mengelakkan insiden yang sama berulang.

 

BACA: Jadi Wira Sepanjang Pandemik, Dr Hisham Kembali Bertugas Di Hospital Putrajaya

Sumber: Premier League

 

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.