Siakap Keli
doktor gigi pertama orang asli
Kredit: Facebook/PMOA

“Beauty With Brain”, Wanita Muncul Anak Orang Asli Pertama Bergelar Doktor Gigi

JAKOA Ucap Tahniah Kepada Tan Bee Hui, Doktor Gigi Pertama Orang Asli

Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) baru-baru ini mengucapkan tahniah kepada seorang wanita yang merupakan anak Orang Asli pertama yang bergelar doktor gigi.

Hantaran JAKOA yang dimuat naik menerusi laman TikTok (@jakoamalaysia) berdasarkan hantaran Facebook milik Persatuan Mahasiswa Orang Asli Malaysia (PMOA).

PMOA memuat naik hantaran tersebut di media sosialnya pada 30 September lepas.

Dalam hantaran tersebut, Tan Bee Hui A/P Tan Boon Huat berjaya menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Pembedahan Gigi (Bachelor of Dental Surgery) daripada MAHSA University.

Wanita muda ini mendapat pendidikan awal di SJK (C) Kuala Rompin dan SMK Rompin sebelum menyambung pelajaran di Kolej Mara Banting.

Difahamkan, minat Tan Bee Hui dalam bidang pendidikan didorong oleh semangat ibunya yang rajin mengajar mereka dua beradik di rumah.

Wanita yang merupakan Orang Asli suku Jakun ini percaya bahawa pendidikan mampu mengubah nasib keluarganya untuk keluar dari kepompong kemiskinan.

Rekod akademik yang cemerlang sejak dibangku sekolah

Kejayaan Tan Bee Hui mula dilakar apabila berjaya memperolehi keputusan cemerlang 5A dalam Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah (UPSR), 8A dalam Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) dan 8A di peringkat Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM).

Tan Bee Hui bukan sahaja cemerlang daklam bidang akademik, beliau juga aktif dalam bidang kokurikulum.

Anak sulung daripada dua beradik ini pernah menjadi ahli aktif dalam Persatuan Bulan Sabit Malaysia (PBSM) semasa di bangku sekolah.

Tidak terhad di peringkat sekolah, dia juga aktif menceburkan diri dalam pelbagai aktiviti dan persatuan ketika berada di universiti.

Beliau aktif bermain sukan bola jaring dan menjadi ahli aktif Dental Student Society. Tidak dilupakan, Tan Bee Hui juga merupakan ahli Persatuan Mahasiswa Orang Asli Malaysia.

Berkhidmat di tempat kelahiran untuk memberikan sumbangan kepada komuniti Orang Asli

Dalam hantaran tersebut, Tan Bee Hui memberikan pesanan kepada seluruh mahasiswa Orang Asli supaya berbangga dengan asal usul merka.

” erus ingat akan asal usul, adat resam, dan cuba sedaya upaya untuk membantu kelompok sendiri dan terus menjadi inspirasi kepada mereka yang memerlukan dengan menghulurkan bantuan mengikut kemampuan. Percaya pada diri sendiri” jelasnya.

Katanya lagi, dia mahu mencapai cita-citanya juga kerana mahu memberi sumbangan kepada masyarakat.

“Saya belajar bersungguh-sungguh hanya untuk menjadi diri saya pada hari ini bagi membuktikan bahawa Orang Asli juga boleh menjadi seorang doktor gigi.

“Kini, saya berkhidmat di hospital yang merupakan tempat saya dilahirkan untuk membantu komuniti saya.

“Jangan pernah ragu terhadap diri anda hanya sebab mereka tidak percayakan anda. Hargai diri anda, kerja keras dan jangan sesekali lupakan asal usul anda.

“Lakukan apa yang terbaik untuk diri anda, hidup ini terlalu singkat untuk kita risau dengan apa yang akan dikatakan oleh orang lain.”

BACA: Pandai Bergurau, Anak Ikan Pari Main Percik-percik Air Guna Mulut Curi Tumpuan Ramai

Sumber: JAKOA via TikTok, PMOA via Facebook

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma