Tauliah Mengajar Ustaz Abdullah Khairi Ditarik – MAIS
Tauliah mengajar yang diberikan kepada pendakwah, Abdullah Khairi telah ditarik balik berkuat kuasa pada 27 September lepas, menurut Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).
Dalam satu kenyataan, MAIS menyatakan perkara itu diputuskan dalam satu mesyuarat Jawatankuasa Tauliah MAIS yang bersidang pada 27 September lalu.
“Berdasarkan subseksyen 118(3) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 dan perenggan 17(c) dan (e) Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008, Mesyuarat Jawatankuasa Tauliah MAIS yang bersidang pada 27 September 2023 telah memutuskan untuk menarik balik tauliah mengajar berkuat kuasa pada 27 September 2023,” katanya dalam surat itu.
MAIS turut meminta supaya Ustaz Abdullah Khairi menghentikan daripada menjalankan apa-apa ceramah umum atau mengajar perkara tentang Islam di Selangor dari tarikh kuat kuasa penarikan tauliah.
BACA: Ustaz Azhar Idrus Terima Tauliah Mengajar & Ceramah Di Terengganu
Difahamkan, Ustaz Abdullah diperlukan untuk menyerahkan Kad Identiti Tauliah kepada Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) atau Bahagian Dakwah, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
“Jika didapati mengajar agama Islam dalam Selangor termasuk menyampaikan ceramah selepas penarikan balik tauliah tersebut, boleh didakwa melakukan kesalahan mengajar Islam tanpa tauliah di bawah seksyen 199 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.
“Ia juga boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya,” ujarnya.
Dalam pada itu, surat itu turut menyatakan beliau boleh membuat secara bertulis terhadap keputusan Jawatankuasa Tauliah MAIS kepada MAIS dalam tempoh 14 hari dari tarikh penerimaan surat berkenaan.
https://www.facebook.com/ustazabdullahkhairipage/posts/pfbid0coCy7pBiqQC7SJV2FXfoAstKcz1kMk7gwHMDFidWaKUcetMZWaoHzfiaXoycQ2H7l
Sumber: Ustaz Abdullah Khairi/Facebook