Siakap Keli
penceramah tanpa tauliah
Kredit: BERNAMA

Penceramah Tanpa Tauliah: AJK Masjid, Surau Boleh Dipecat – Sultan Ibrahim

Penceramah Tanpa Tauliah: AJK Masjid, Surau Boleh Dipecat – Sultan Ibrahim

ISKANDAR PUTERI, 16 Mac (Bernama) — Ahli jawatankuasa (AJK) masjid dan surau di Johor boleh dikenakan tindakan dan dipecat, sekiranya membenarkan penceramah tanpa tauliah memberi ceramah di negeri itu.

Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar bertitah penceramah agama yang hendak menyampaikan ceramah di negeri itu, mestilah memiliki tauliah daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

Baginda bertitah semua AJK masjid dan surau yang hendak menganjurkan ceramah agama, wajib mendapatkan kebenaran daripada MAINJ melalui Pejabat Kadi Daerah.

Sultan Ibrahim bertitah penceramah juga perlu menyatakan secara terperinci tajuk ceramah serta perkara yang ingin disampaikan, ketika memberi ceramah agama.

“Sekiranya ada mana-mana masjid dan surau yang gagal patuhi peraturan ini, maka semua AJK masjid dan surau itu akan diambil tindakan dan dipecat.

BACA: Sultan Nazrin Perkenan Pengerusi Jawatankuasa Masjid, Surau Digantung Tugas

“Tindakan ini bukanlah untuk menghalang program penyebaran ilmu Islam, tetapi untuk kawal penyebaran fahaman yang menyeleweng dan terpesong daripada hukum syarak yang berlandaskan Ahli Sunnah Wal Jamaah di negeri ini,” titah Sultan Ibrahim.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan pembukaan Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, di sini, hari ini.

Titah Sultan Ibrahim tindakan tersebut perlu, untuk mengawal golongan pelampau agama yang boleh mencetuskan kekeliruan kepada umat Islam dan golongan muda, yang kurang berilmu.

“Sehubungan itu, kerajaan harus meningkat mutu pendidikan di sekolah dan pusat pengajian tinggi, bagi melahirkan generasi masa depan yang tinggi ilmu pengetahuan,” titah baginda.

Keperluan tauliah mengajar demi pelihara agama Islam – Sultan Selangor

Sebelum ini, media melaporkan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menegaskan bahawa keperluan tauliah mengajar agama bukan untuk menghalang atau menyusahkan seseorang yang ingin mengajar agama, sebaliknya ia adalah langkah pencegahan bagi memenuhi maqasid syariah dalam aspek memelihara agama Islam.

Baginda bertitah hanya mereka yang benar-benar mahir dan mempunyai pengetahuan luas mengenai agama Islam sahaja boleh diberikan tauliah untuk mengajar atau berceramah di masjid atau surau di negeri ini.

Sumber: BERNAMA

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana