Sultan Pahang, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah menitahkan seluruh rakyat di negeri itu, khususnya mereka yang menetap di kawasan berisiko banjir, supaya sentiasa berwaspada sepanjang musim tengkujuh.
Baginda turut menasihati rakyat agar mematuhi segala nasihat dan arahan yang dikeluarkan kerajaan serta agensi berkaitan bagi menghadapi kemungkinan berlakunya banjir.
Menurut titah baginda, keselamatan diri dan keluarga perlu sentiasa diutamakan, terutama ketika berdepan keadaan cuaca tidak menentu serta hujan berterusan yang berpotensi mengakibatkan banjir dan bencana alam lain.
“Penduduk yang tinggal di kawasan rendah dan berhampiran lembangan sungai supaya mengambil langkah persediaan awal, termasuk mengamankan dokumen penting, memastikan kenderaan diletakkan di kawasan selamat serta bersedia untuk berpindah sekiranya diarahkan oleh pihak berkuasa,” titah baginda menerusi kenyataan di Facebook Kesultanan Pahang hari ini.
Al Sultan Abdullah turut mengingatkan rakyat supaya tidak memandang ringan sebarang amaran cuaca dan banjir yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Baginda juga menyarankan orang ramai mendapatkan perkembangan terkini berkaitan cuaca dan situasi banjir menerusi saluran rasmi kerajaan.
Dalam pada itu, baginda berharap semua agensi pengurusan bencana, pasukan keselamatan dan pihak berkuasa tempatan sentiasa berada dalam keadaan bersiap siaga serta mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat terus terpelihara.
Baginda turut menyeru rakyat supaya mengamalkan semangat kebersamaan dengan saling membantu serta mengambil berat terhadap golongan yang memerlukan perhatian khusus, termasuk warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan kanak kanak, terutama ketika berdepan situasi kecemasan.
Al Sultan Abdullah menzahirkan harapan agar segala persediaan dan tindakan awal yang dilaksanakan dapat membantu mengurangkan risiko serta kesan bencana, sekali gus memastikan keselamatan seluruh rakyat Pahang sepanjang musim tengkujuh.

