Siakap Keli
dapat ugutan komen

Dapat Ugutan Dari Komen di Media Sosial? Ini Apa yang Mangsa Boleh Buat

Dapat Ugutan Dari Komen di Media Sosial? Ini Apa yang Mangsa Boleh Buat

Zaman kini, boleh dikatakan semuanya boleh berlaku secara online. Beli barang, mesyuarat, berborak semuanya online. Tapi hati-hati ketika menggunakan media sosial. Kebelakangan ini, banyak kes gurauan hingga menjadi kes ugutan berlaku di media sosial. Bukan sahaja wanita, lelaki juga boleh menjadi mangsa ugutan di media sosial.

Baru-baru ini tular satu tangkap layar dari sebuah group di Facebook. Seorang penjawat awam yang juga seorang bapa, mengadu tentang kes yang dilakukannya di media sosial. Dia mengatakan telah melakukan ugutan rogol dan bunuh terhadap seorang wanita yang pada awalnya hanya bertujuan untuk ‘mendiamkan’ wanita itu dalam pergaduhan mereka di ruangan komen. 

Tindakannya ‘berjaya’ mendiamkan wanita tersebut, namun tanpa si pelaku sedar, dia bakal berhadapan bahana lebih besar.

Sebulan kemudian, dia telah dihubungi polis untuk diambil keterangan sebelum direman atas tuduhan melakukan ugutan jenayah di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan. Buntu dengan situasi tersebut, lelaki ini kemudiannya meminta nasihat peguam mengenai kesnya kerana dia berisiko hilang kerja dan pencen sebagai penjawat awam jika sabit kesalahan. 

Jelas disini niat nak bergurau sekalipun boleh membawa padah sekiranya mangsa rasa terancam dan membuat laporan polis. Anda boleh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah. Pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 7 tahun, atau denda atau kedua-duanya sekali. Hati-hati dalam melemparkan kata-kata di media sosial walaupun hanya nak bergurau.

Apa mangsa boleh buat jika diugut?

Kadang-kala mangsa takut nak bertindak selepas menjadi mangsa ugut. Peguam Tuan Arik Zakri dari Tetuan Khalek & Associates menjelaskan bahawa mangsa boleh membuat laporan polis dimana-mana balai polis terdekat dan sebaik-baiknya membawa saksi untuk membantu mangsa membuat laporan. Arik juga berkata, mangsa tidak perlu risau, pihak polis akan melindungi mangsa dari ancaman suspek. Bukti seperti tangkap layar sangat membantu siasatan pihak polis.

Jelas Tuan Arik, suspek perlu memilih peguam dan sediakan kos guaman yang mencukupi. Hal ini kerana peguam boleh tarik diri dari kes bila-bila masa sahaja jika suspek tidak menepati persetujuan yang telah dijanjikan.

Malah jelas beliau ketika ditanya Siakap Keli, kos guaman bagi kes sebegini boleh mencapai 50 hingga 100 ribu, bergantung kepada berapa banyak kesalahan dan pertuduhan yang dibawa. Pelaku juga perlu menyediakan sejumlah wang untuk proses ikat jamin.

Ujar beliau, bagi kesalahan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, pelaku boleh direman tanpa waran biarpun komen tersebut bertujuan ‘gurauan’ bagi pelaku. Malah, pelaku tetap boleh didakwa sekalipun berselindung di sebalik akaun palsu atau akaun milik orang lain.

Ini kerana pihak berkuasa mempunyai kuasa dan kelengkapan yang mantap untuk menyiasat kesalahan jenayah atas talian. Di samping itu, peruntukan Seskyen 114A Akta Keterangan 1950 membolehkan Mahkamah mengkaitkan pesalah dengan akaun media sosial berdasarkan gambar profil dan nama akaun semata-mata.

CMCF Kawal Selia Kandungan Digital

Tahukah anda ada satu badan bebas yang dikenali sebagai Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang menjadi pemudahcara kawalselia kendiri kandungan digital dan ianya berdaftar di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Menurut Pengarah Eksekutif CMCF, Mediha Mahmood ketika ditemu bual Siakap Keli, menjaga keselamatan pengguna di media sosial bukan sahaja menjadi tanggungjawab pihak berkuasa, tapi sudah menjadi tanggungjawab bersama. “Komunikasi di media sosial ini sangat pantas dan pihak berkuasa mungkin tidak mampu untuk mengawal semua kesalahan di media sosial,” kata Mediha.

Tambah Mediha lagi, pengguna media sosial juga perlu tahu cara untuk membuat laporan terus ke pihak media sosial. Contohnya jika rasa diugut di Facebook oleh seseorang, pengguna boleh melaporkan kepada Facebook untuk pihak Meta mengambil tindakan seperti menyekat akaun tersebut atau memadam komen yang telah dibuat. Tapi, jika keterlaluan sangat perlu untuk melaporkan kepada pihak berkuasa.

Mediha juga berpendapat, trend gangguan seksual atau buli ini sudah banyak berubah kerana media sosial. Contohnya seorang pelajar dibuli di sekolah dan ia mungkin tidak berhenti disitu kerana pembuli boleh membuli pula di media sosial. Kesimpulannya, semua perlu berganding bahu dan bekerjasama memastikan suasana sihat secara fizikal ataupun secara online.

Anda juga boleh melaporkan kepada CMCF jika menjadi mangsa atau melihat salah laku siber berlaku di pautan ini CMCF. Maklumat lanjut boleh layari laman web CMCF.

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.