Siakap Keli
MBPJ Kenakan Tindakan Tegas Atas Pemilik Rumah Kosong & Lot Tanah Terbiar
Kredit: Sinar Harian

Tindakan Tegas Menanti Pemilik Rumah Kosong & Lot Tanah Terbiar Di PJ – MBPJ

Tindakan Tegas Menanti Pemilik Rumah Kosong & Lot Tanah Terbiar Di PJ – MBPJ

Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan mengambil tindakan tegas terhadap pemilik rumah kosong dan lot tanah terbiar yang tidak diselenggara dengan baik sehingga mencetuskan ketidakselesaan terhadap orang ramai.

Perkara berkenaan dimaklumkan melalui satu kenyataan media bertarikh 4 Oktober oleh Sekretariat Media Unit Komunikasi Korporat, MBPJ.

Menurut MBPJ, pihaknya menerima banyak aduan berhubung dengan rumah kosong dan lot tanah persendirian terbiar yang tidak diselenggara dengan baik oleh pemiliknya.

Untuk rekod, sebanyak 320 aduan telah diterima oleh Majlis pada tahun lepas. Manakala, jumlah kes pada tahun ini sehingga September 2023 pula sebanyak 244 aduan telah direkodkan melalui sistem aduan MBPJ.

Katanya, tindakan tidak menyelenggara rumah kosong dan tanah mampu memberikan kemudaratan kepada masyarakat setempat.

Sehubungan itu, MBPJ komited untuk menyelesaikan setiap aduan yang diterima bagi membanteras kesan negatif dari sikap tidak bertanggungjawab ini.

MBPJ akan bertindak berdasarkan Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Undang- Undang Kecil Mencegah Kekotoran (Majlis Perbandaran Petaling Jaya 1999) bagi mengatasi isu semak samun dan rumah kotor di Petaling Jaya.

“Pihak Majlis turut mengeluarkan notis pembersihan di bawah seksyen 74 Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) yang meminta pemilik untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan dalam tempoh notis yang diberikan.”

Jelasnya, jika pemilik gagal atau enggan mematuhi notis tersebut, maka kompaun boleh dikenakan dengan nilai tidak lebih daripada RM 1,000.

Pada masa yang sama, pihak MBPJ akan melakukan kerja-kerja pembersihan di kawasan terlibat sekiranya tiada tindakan daripada pemilik.

Kerja-kerja pembersihan itu tidak ditanggung MBPJ sebaliknya pihaknya akan membilkan segala caj perkhidmatan kepada pemilik.

MBPJ juga akan kenakan tindakan undang-undang atas individu yang melakukan kesalahan berulang

MBPJ memaklumkan bahawa tindakan perundangan juga akan diambil bagi kesalahan berulang. Pada tahun 2022, sebanyak tujuh kes telah didaftarkan ke mahkamah dan tiga kes pula didaftarkan pada tahun 2023.

“Bagi pemilik yang disabit kesalahan di mahkamah, pemilik boleh dikenakan denda tidak melebihi RM 1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali dan denda tambahan tidak melebihi satu ratus ringgit bagi setiap satu hari selama tempoh kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.”

Selain itu, MBPJ akan turut memasukkan kaveat pendaftar terhadap sesuatu lot, jika pemilik mempunyai tunggakan bayaran caj.

Berdasarkan rekod MBPJ, sebanyak 35 harta telah dimasukkan ke dalam kaveat pendaftar sehingga hari ini.

“Sehingga bulan September 2023, data yang telah dikemaskini mendapati sebanyak 423 pemilik rumah dan lot terbiar mempunyai tunggakan caj pemotongan bil rumput panjang.”

Pihak Majlis juga sedang mengambil tindakan tuntutan sivil bagi menuntut tunggakan bil dari bagi para pemilik yang masih mempunyai tunggakan bil pemotongan rumput.

Dalam ketegasan tindakan yang diambil, MBPJ turut mengambil kira kekangan dan kesulitan yang dihadapi pemilik rumah kosong dan tanah lot terbiar.

“Mengambilkira kekangan yang dihadapi, pihak Majlis kini telah menjalankan inisiatif berkenaan tunggakan bil rumput panjang ini dengan cara mengaktifkan “popup message” kepada pemilik akaun yang mempunyai tunggakan bil potong rumput panjang.

“Dengan cara ini, pemilik akan mendapat maklumat berkenaan tunggakan lampau dan membuat semakan secara fizikal di kaunter dan seterusnya mengemaskini maklumat terkini berkenaan pemilikan tanah.

Akhir sekali, MBPJ menggesa kepada pemilik-pemilik rumah kosong dan lot terbiar diminta untuk memastikan kawasan lot mereka sentiasa bersih dan diselenggara dengan baik agar tidak memberikan kesulitan terhadap penduduk setempat.

“Pemilik juga dinasihatkan untuk membuat semakan berkenaan tunggakan dan melunaskan bil tunggakan sedia ada. Bagi sebarang pertanyaan dan semakan, sila rujuk Jabatan Perkhidmatan Kesihatan dan Persekitaran, di Tingkat 9 Menara MBPJ.”

BACA: Ramai Tertanya-tanya, Abang Ni Tunjuk Proses Macam Mana Lori Sampah Kosongkan Muatan

Sumber: MBPJ

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.