Siakap Keli
pemain takraw gelak kena psiko

Kenapa Pemain Takraw Boleh Gelak & Tak Mudah Melenting Walau Kena ‘Psiko’ Dengan Regu Lawan?

Kenapa Pemain Takraw Boleh Gelak & Tak Mudah Melenting Walau Kena ‘Psiko’ Dengan Regu Lawan?

Sepak takraw merupakan permainan yang sangat terkenal dan lazimnya dimainkan oleh penduduk di rantau Asia Tenggara. Menariknya sukan sepak takraw ini mempunyai elemen psikologi semasa dimainkan sama seperti sukan-sukan lain.

Tapi kenapa wujudnya elemen permainan psikologi dalam sukan ini? Mesti kita pernah tertanya-tanya kan? 

Menurut Stack, kelebihan dari segi mental kadang kala dapat memberikan perbezaan di antara yang menang dan yang kalah. Sebagai contoh yang boleh dirujuk adalah Usain Bolt dalam sukan Olimpik 2012 di London. Jaguh pecut itu sebenarnya berada dalam keadaan tertekan selepas dikalahkan oleh Yohan Blake pada Kejohanan Dunia.

Bagaimana reaksi Usain Bolt semasa sukan Olimpik itu apabila mengetahui bahawa dia bakal bersaing sekali lagi bersama Yohan Blake? Dia hanya bergelak tawa dan bergurau senda di hadapan kamera seakan tidak gentar langsung dengan pesaingnya. Perkara itu telah membuatkan pesaingnya hilang fokus seterusnya tidak memikirkan berkenaan perlumbaan yang bakal bermula.

Samalah juga dengan sepak takraw. Bila kita tengok perlawanan sepak takraw, pasti akan ada pemain yang akan memainkan psikologi terhadap pemain lawan apabila berjaya mendapatkan mata. 

Sebenarnya psikologi dalam sukan ni sudah menjadi suatu perkara yang normal. Tapi perlu diingat bahawa psikologi yang dibuat itu hanyalah psikologi secara sihat yang bertujuan untuk digunakan dalam gelanggang sahaja.

Antara game psikologi dalam sukan sepak takraw yang paling diingati sekali adalah ketika Malaysia bertemu dengan Indonesia dalam pentas akhir Sukan Asia 2018 yang berlangsung di Indonesia. Permainan psikologi dapat dilihat berlaku di antara kedua-dua pasukan. Kekentalan pasukan Malaysia walau mental diasak dari dalam dan luar gelanggang berjaya memberikan kemenangan yang bermakna dan diingati sehingga ke hari ini.

Bagi pemain-pemain takraw pula, ianya sudah menjadi kebiasaan dan lumrah apabila bermain sukan ini. Boleh dikatakan, permainan psikologi pihak lawan sudah menjadi elemen wajib dalam permainan ini. Disebabkan itulah, pemain-pemain sepak takraw masih boleh tersenyum walaupun setelah diasak bertalu-talu dari segi psikologi. Perkara ini kerana mereka sedar perkara inilah yang membuatkan permainan sepak takraw lebih rancak kerana saling mahu mendapatkan mata.

Selain dari sukan sepak takraw, sukan ragbi juga mempunyai elemen permainan psikologi yang tersendiri juga. Contohnya aksi haka yang dipersembahkan oleh pasukan ragbi New Zealand sebelum perlawanan berlangsung. 

Menurut psicologia deportiva, objektif tarian haka ini dilakukan di atas padang sebelum perlawanan adalah untuk menakut-nakutkan pihak lawan sekaligus mengganggu fokus mereka. Namun proses psikologi ini tak hanya terpakai untuk pasukan lawan. Ia kerana, tarian haka ini juga memberi manfaat kepada pasukan. Ia juga dilihat dapat menaikkan semangat pasukan serta membantu meredakan kegugupan dalam kalangan pemain.

Tapi jangan salah faham pula, psikologi secara sihat yang dimaksudkan dalam sukan tadi bukan tergolong dalam kesalahan berdasarkan kod sukan selamat. Psikologi secara sihat yang disenaraikan dalam sukan tadi amat berbeza dengan elemen psikologi yang ada dalam kod sukan selamat.

Menerusi kod sukan selamat, terdapat beberapa salah laku yang ditekankan iaitu gangguan seksual, salah laku psikologi, fizikal, antun seksual dan salah laku di bawah undang-undang Malaysia.

Apa itu Kod Sukan Selamat?

Kod Sukan Selamat ini secara amnya merupakan suatu garis panduan yang dibangunkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi memberi panduan mengenai persekitaran sukan yang selamat serta peranan dan tanggungjawab semua pihak dalam menangani gangguan dan penderaan dalam sukan.

Ia dilaksanakan bertujuan untuk membendung segala bentuk penderaan, gangguan dan keganasan termasuklah dalam bidang pendidikan, sukan dan sosial.

Jom kita tengok satu-satu apa yang ditekankan dalam kod sukan selamat ini.

Gangguan seksual

Perkara ini boleh ditafsirkan sebagai apa-apa kelakukan tidak diingini yang bersifat seksual dalam apa-apa bentuk sekalipun, sama ada secara lisan, bukan lisan, visual, isyarat atau fizikal yang ditujukan kepada seseorang yang secara munasabahnya menyinggung atau menghina atau merupakan suatu ancaman kepada kesejahteraannya.

Salah laku psikologi

Ia lebih merujuk kepada corak tingkah laku yang tidak betul atau tidak sepatutnya terhadap mental dan pemikiran seseorang. Salah laku psikologi ini merangkumi tindakan fizikal atau lisan yang ganas kepada seseorang individu, melakukan pengabaian seperti tidak membenarkan atau menyediakan rawatan yang diperlukan untuk kesihatan mental atau keperluan perubatan seseorang individu.

Selain dari itu, perbuatan yang menolak, merendahkan, mengaibkan, memalukan atau memperlekehkan seseorang individu terutamanya di tempat awam juga turut termaktub dalam perkara ini.

Perbuatan mengintip juga turut tersenarai dalam kesalahan ini. Ia bermaksud, mana-mana orang yang berulang kali membuat gangguan, berniat atau tahu bahawa perbuatan itu boleh menyebabkan kesusahan, ketakutan kepada orang tersebut atau keselamatannya. Turut tidak terkecuali adalah pengintipan siber.

Salah laku fizikal

Sebarang tingkah laku yang melibatkan sentuhan seperti menumbuk, memukul, menggigit, mencekik atau menampar orang lain untuk menyebabkan kemudaratan fizikal adalah termaktub dalam kesalahan ini.

Buli

Buli ini bermaksud tingkah laku yang menyakiti, menganiayai atau menakuti seseorang dengan cara mendera, mengugut atau mengancam secara emosi, fizikal atau seksual.

Antun seksual

Ia bermaksud tindakan yang mewujudkan kepercayaan dan hubungan emosi dalam hubungan individu bagi menghasilkan persekitaran yang mana individu menerima satu bentuk perhubungan yang tidak patut. Ia boleh berlaku secara fizikal atau maya.

Salah laku di bawah undang-undang Malaysia

Secara amnya, segala bentuk salah laku yang termaktub di bawah 9 undang-undang yang berkuatkuasa di Malaysia adalah termasuk dalam kod sukan selamat ini.

Undang-undang tersebut adalah Kanun Keseksaan (Akta 574), Akta Antigangguan Seksual 2022 (Akta 840), Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611), Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap 2017 (Akta 792), Akta Orang Kurang Upaya 2008 (Akta 685), Akta Kerja 1955 (Akta 265), Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576), Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711).

Kini para atlet, bakal atlet mahupun yang bukan atlet di semua peringkat tidak perlu risau lagi sebabnya Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dah pun laksanakan kod sukan selamat secara meluas.

Pembangunan kod ini berpandukan undang-undang yang berkuat kuasa di Malaysia serta garis panduan di peringkat antarabangsa. Kandungan kod ini juga telah dipersetujui secara bersama oleh pemegang taruh melalui sesi libat urus yang telah diadakan. Kod ini juga telah disesuaikan dengan landskap sukan di Malaysia dan boleh dipinda mengikut keperluan dari semasa ke semasa.

Kalau korang nak tahu dengan lebih lanjut berkenaan inisiatif yang dilakukan oleh KBS ini, klik di sini.

22 pembaharuan KBS

Ramai yang mungkin terlepas pandang bahawa Kod Sukan Selamat yang dilaksanakan oleh Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) ini sebenarnya adalah salah satu daripada 22 pembaharuan yang sedang diusahakan KBS.

Pembaharuan yang dilaksanakan KBS ini adalah bertujuan untuk memperkasakan belia dan sukan serta pemegang taruh kementerian. Pembaharuan ini terdiri daripada empat aspek utama iaitu memperkukuhkan ekosistem sukan, merakyatkan sukan, memperkasakan belia dan merakyatkan fasiliti KBS.

Memperkukuh ekosistem sukan

Sebanyak 12 usaha yang dilaksanakan oleh KBS dalam aspek ini. Antaranya ialah menubuhkan jawatankuasa tertinggi pembangunan sukan, memudah cara penganjuran acara sukan, peningkatan dari 51 ke 103 jenis sukan dan mengklasifikasikan sukan tempur sebagai aktiviti sukan di sekolah.

Selain daripada itu, KBS juga turut berusaha untuk membantu Konservasi Harimau Malaya menerusi setiap RM1 yang diambil daripada pembelian tiket perlawanan pasukan bola sepak negara untuk disumbangkan kepada Konservasi ini.

Tak hanya itu, KBS juga turut melancarkan Garis Panduan Pembangunan Sukan Elektronik Kebangsaan (NESDEG), memaparkan peruntukan yang diluluskan, Membentuk Jawatankuasa Pertikaian Sukan dan Menubuhkan Jawatankuasa Road to Gold.

KBS juga turut mengadakan KBS Open Day, Membangunkan Kod Sukan Selamat dan terakhir sekali adalah Mewajibkan kehadiran Pegawai Pengiring bagi mengiringi atlet para negara.

Merakyatkan sukan

Bagi pembaharuan untuk kategori ini, KBS telah menggariskan sebanyak 4 inisiatif. Antaranya ialah Mewujudkan Direktori Fasiliti Sukan, Menjalankan Kemahiran Latihan Asas Sukan (KLAS) Renang, Menyediakan Program Skrin Besar dan Memperluaskan Jualan Sukan Rahmah.

Memperkasakan Belia

Untuk belia pula, KBS akan Memberi nafas baharu kepada Rakan Muda serta akan Melancarkan Sekolah Rukun Negara.

Merakyatkan fasiliti KBS

Bagi memupuk semangat untuk bersukan dan amal hidup sihat, KBS menekankan pembukaan Fasiliti Perbadanan Stadium Malaysia untuk semua. KBS juga turut melancarkan inisiatif 1 Sukan 1 Fasiliti, menyediakan Penginapan Youth Capsule serta Menawarkan Perkhemahan Keluarga.

Dengan pelaksanaan Kod Sukan Selamat yang digariskan dalam 22 pembaharuan KBS ini diharapkan agar seluruh lapisan masyarakat lebih cakna terhadap apa yang dilarang dalam segala bentuk aktiviti sukan. Tak hanya itu, pelaksanaan semua inisiatif dan pembaharuan ini diharapkan agar generasi yang lebih sihat serta cergas dapat dilahirkan di samping menanam gaya hidup sihat pada semua lapisan masyarakat. Secara tidak langsung kesemua inisiatif dan pembaharuan ini dijangka mampu merealisasikan Visi Sukan Negara 2030.

Untuk maklumat lanjut mengenai Kod Sukan Selamat dan inisiatif KBS yang lain layari www.kbs.gov.my dan ikuti semua platform media sosial KBSMalaysia. 

Aqmal Ezany

I write what is right