Siakap Keli
mualaf oku berdikari
Kredit: Siakap Keli

Pernah Dianggap “Scammer”, Mualaf OKU Tak Patah Semangat Berdikari Cari Rezeki Halal

Pernah Dianggap “Scammer”, Mualaf OKU Tak Patah Semangat Berdikari Cari Rezeki Halal

Menjadi individu Orang Kelainan Upaya (OKU) dalam dunia yang penuh dengan tipu daya muslihat ini bukan mudah. Apatah lagi selepas mengetahui kebenaran bahawa ia tidak dihuni oleh yang baik sahaja malah ada juga yang kejam menikmati masa mereka di sini.

Biarpun menghadapi pelbagai kepayahan yang dianggap sebagai ujian hidup, insan istimewa, Radin Daniel, 32, masih tetap bersangka baik tentang perkara yang menimpa dirinya.

Radin, yang juga merupakan OKU cerebral palsy mengakui takdir yang ditetapkan oleh Yang Maha Kuasa tidak mudah untuknya menjalani kehidupan seharian namun mempercayai setiap yang berlaku ada sebabnya.

Gambar: Siakap Keli

Pada tahun lepas, Radin telah melafazkan kalimah suci syahadah selepas tertarik dengan keindahan agama Islam.

Baginya, Islam adalah agama yang indah dan hanya Allah yang berkuasa di atas muka bumi ini.

“Saaya suka tengok bab agama Islam, saya tengok di Astro Oasis. Jika ada bab agama, saya memang akan tengok. Sebab Islam itu indah, baik dan yang saya tahu, tiada Tuhan yang lain selain daripada Allah S.W.T. Itu sahaja,” katanya.

Radin berkata demikian ketika ditemu bual Siakap Keli menerusi segmen Ini Kisah Saya baru-baru ini.

Niaga jual biskut, kerepek tampung kehidupan

Walaupun pergerakannya terbatas, di mana tangan dan kakinya tidak dapat digunakan sepenuhnya, Radin masih memilih untuk berdikari tanpa bergantung harap kepada orang lain.

Anak kelahiran Kuala Lumpur itu telah memulakan perniagaan menjual biskut yang diberikan nama ‘Daniel Beeskut’ dan kerepek sejak dua tahun lalu ketika negara sedang melalui ‘episod’ Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 pada 2021.

Gambar: Siakap Keli

“Saya berniaga secara berseorangan di samping sahabat yang hadir membantu dan secara tidak langsung menjadi tulang belakang saya.

“Perniagaan ini saya buat ketika PKP 2.0, jadi semua tahu tidak boleh keluar rumah, tidak boleh (keluar) cari duit, saya fikir balik baik saya buat berniaga biskut dan kerepek untuk menampung kos kehidupan, daripada duduk tidak melakukan apa-apa, jadi dari situlah perniagaan ini bermula,” ujarnya.

Pernah diambil kesempatan, dianggap scammer

Walau bagaimanapun, secara fitrahnya manusia memang tidak boleh lari daripada ujian serta cabaran dan begitulah seperti apa yang dihadapi Radin.

Apabila ditanya mengenai cabaran, Radin menceritakan ada sebilangan orang menganggap dirinya seorang scammer yang mahu menipu orang ramai.

Bagaimanapun, dia tidak mengendahkan perkara itu kerana baginya, mencari duit untuk terus hidup jauh lebih penting daripada melayan karenah manusia.

“Saya pernah upah seseorang untuk tolong tapi di sebalik kebaikannya, dia ambil kesempatan ke atas saya.

“Bila ada pelanggan buat pesanan, saya minta dia untuk hantar tetapi dia tidak akan hantar. Tunggu sampai dua hingga tiga bulan baru hantar.

“Ini menjejaskan reputasi saya, kerana ada pelanggan yang zahirkan rasa tidak puas hati dan ada yang nak buat laporan polis,” jelasnya.

Jelasnya, dia juga pernah menjadi buruan pemungut hutang gara-gara rakannya yang membuat pinjaman dengan kumpulan tersebut.

Hanya bergantung hidup dengan menjual kerepek, bantuan kerajaan

Radin berkata perniagaan tersebut dilakukan bagi menampung kos hidupnya yang sebatang kara, tanpa ada ibu bapa di sisi.

“Sekarang ini, saya memang 100 peratus bergantung dengan hasil jualan biskut dan kerepek serta bantuan kerajaan. Dengan hasil tersebut saya dapat membayar sewa rumah, membayar bil, makanan dan lain-lain.

“Kalau jumlah bersih, tak banyak sangat dalam RM200 hingga RM500 dalam sebulan. Kerajaan juga bantu membayar sewa rumah, saya bayar separuh,” jelasnya.

Kredit: Siakap Keli

Walaupun menerima bantuan daripada kerajaan, Radin mengatakan itu bukan penghalang untuknya tidak bekerja malah dia juga lebih gemar mencari duit poket sendiri sebagai inisiatif untuk membeli barang keperluan.

Menurutnya, seseorang tidak dapat apa yang diinginkan sekiranya tidak mempunyai daya usaha untuk melakukannya.

“Tak akan saya nak duduk tunggu duit turun, sebab orang cakap ‘there is no free lunch in this world’ kan, kena kuat usaha,” katanya.

Meskipun tiada semangat dan dorongan daripada ibu bapanya, tetapi Radin tidak berputus asa dan masih meneruskan perniagaannya seperti biasa.

“Saya berniaga dengan menyiarkan di media sosial seperti Facebook, Instagram dan TikTok. Sekiranya ada pesanan yang dibuat oleh pelanggan, itulah rezeki saya,” ujarnya tenang.

Orang ramai yang ingin membeli biskut dan kerepek yang dijual oleh Radin boleh WhatsApp di nombor ini, 012-2118379.

Saksikan temu bual penuh di bawah ini atau di Youtube Siakap Keli.

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana