120 Maut, 1,000 Cedera Akibat Gempa Bumi Di Afghanistan
Sekurang-kurangnya 120 dilaporkan maut dan kira-kira 1,000 lagi cedera selepas gempa bumi kuat menggegarkan Herat yang terletak di barat Afghanistan, berhampiran sempadan Iran pada Sabtu, lapor BBC.
Ketua pengurusan bencana wilayah tersebut, Mosa Ashari berkata setakat rekod yang dicatatkan, mangsa kebanyakannya adalah wanita, kanak-kanak dan warga emas.
“Setakat ini lebih 1,000 wanita, kanak-kanak, dan warga emas yang cedera telah dimasukkan ke dalam rekod kami, dan kira-kira 120 orang telah kehilangan nyawa mereka,” katanya.
Laporan awal meletakkan angka korban disahkan seramai 15 orang, namun kemungkinan ia menunjukkan peningkatan apabila pasukan penyelamat mengesahkan skala penuh kemusnahan yang meluas.
Manakala, laporan tidak rasmi yang belum disahkan (setakat ini) merekodkan angka korban semasa adalah melebihi 300 orang.
Difahamkan, banyak bangunan runtuh telah menyebabkan sesetengah penduduk terperangkap di bawah runtuhan selepas sekurang-kurangnya tiga gegaran menggegarkan bandar tersebut.
Ketika penduduk bandar tersebut ditemu bual, mereka yang terselamat mengimbas kembali menceritakan tentang bagaimana ketakutan tercetus selepas bangunan pejabat mula bergegar sebelum runtuh di sekeliling mereka.
“Kami berada di pejabat kami dan tiba-tiba bangunan itu mula bergegar. Plaster dinding mula runtuh dan dinding retak, beberapa dinding dan bahagian bangunan runtuh,” penduduk Herat Bashir Ahmad memberitahu agensi berita AFP.
“Saya tidak dapat menghubungi keluarga saya, sambungan rangkaian terputus. Saya terlalu bimbang dan takut, ia amat mengerikan,” tambahnya.
Rakaman video yang dikatakan dari Hospital Pusat Herat menunjukkan ramai mangsa dengan titisan intravena mudah alih dirawat di atas jalan tar di luar bangunan utama.
Sementara itu, dalam video yang lain ia juga memaparkan adegan kemusnahan di daerah Injil Herat di mana runtuhan bangunan yang musnah menghalang jalan, menghalang usaha menyelamat.
BACA: Serangan Roket Besar-Besaran Dilancarkan Dari Gaza Ke Israel, Sekurang-Kurangnya 22 Maut
“Keadaan itu sangat mengerikan, saya tidak pernah mengalami perkara seperti itu,” kata pelajar Idrees Arsala kepada AFP.
Sebelum ini, media melaporkan satu gempa bumi berukuran 6.3 magnitud telah melanda kira-kira 40 kilometer dari bandar barat Herat pada sekitar 11:00 waktu tempatan (06:30 GMT).
Menurut data Bank Dunia 2019, dianggarkan seramai 1.9 juta dipercayai tinggal di Herat yang digelar ‘ibu kota kebudayaan Afghanistan’, yang terletak 120 kilometer timur sempadan dengan Iran.
Afghanistan sering dilanda gempa bumi, terutamanya di banjaran gunung Hindu Kush kerana ia terletak berhampiran persimpangan plat tektonik Eurasia dan India.
Pada Jun tahun lalu, wilayah Paktika dilanda gempa bumi berukuran 5.9 magnitud yang mengorbankan lebih 1,000 orang dan menyebabkan puluhan ribu kehilangan tempat tinggal.
Sumber: BBC