Siakap Keli
tanda bayi demam
Gambar via Hello Doktor

Awas, Ini Lima Tanda Bayi Demam & Cara Menjaganya

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Awas, Ini Lima Tanda Bayi Demam & Cara Menjaganya

Demam merupakan sesuatu yang sering dialami oleh pelbagai individu, terutamanya, bayi. Bayi mengalami demam apabila mereka sudah mula membesar dan sering meneroka keadaan sekeliling mereka.

Apakah gejala-gejala yang perlu diperhatikan oleh ibu bapa? Apa pula punca yang mengakibatkan bayi demam?

Mari kita ikuti informasi yang telah dikongsi oleh Hello Doktor untuk mengetahui dan memahami apa itu demam, dan gejala-gejala yang harus diperhatikan.

Fahami punca demam

Sebelum mengetahui tanda bayi demam yang lazim, ayuh kita fahami punca anak mengalami keadaan ini.

Gambar via Hello Doktor
Demam bukanlah satu penyakit, sebaliknya ia dianggap salah satu simptom. Ini kerana demam biasanya bermakna badan sedang melawan penyakit dan sistem imun berfungsi dengan baik.

Jika bayi mengalami demam, dalam kebanyakan kes, bermakna mereka mungkin dijangkiti selesema atau jangkitan virus lain.

Untuk kes jarang berlaku, demam tersebut mungkin disebabkan oleh radang paru-paru, jangkitan saluran kencing, jangkitan telinga atau jangkitan lebih serius seperti jangkitan kuman darah atau meningitis.

Penyebab demam lain pada bayi termasuk:

  • Reaksi terhadap vaksinasi
  • Panas disebabkan pakaian tebal atau terdedah kepada cuaca panas

5 tanda bayi demam

Berikut adalah beberapa gejala lazim yang akan dialami si manja jika demam:

Suhu tinggi

Gambar via Hello Doktor

Jika anda bimbang bayi mungkin demam, periksalah suhu badannya dengan termometer.

Bawalah anak berjumpa doktor sekiranya:

  • Bayi di bawah usia 3 bulan dan mengalami demam melebihi 38°C
  • Anak mempunyai sistem imun lemah disebabkan masalah kesihatan atau rawatan perubatan dan demam melebihi 38°C, walaupun tidak mengalami simptom lain

Untuk kanak-kanak lain, pemeriksaan doktor perlu dilakukan jika suhu badan mereka melebihi 38°C dan mengalami tanda bayi demam lain seperti:

  • Kebas leher atau cahaya menyakitkan mata 
  • Muntah dan enggan minum dengan banyak
  • Ruam
  • Lebih mengantuk daripada biasa
  • Masalah pernafasan
  • Kesakitan bertambah teruk

Juga, bawa anak berjumpa doktor jika mereka:

  • Demam melebihi 40°C, tetapi tidak menunjukkan gejala lain
  • Demam melebihi dua hari
  • Tampak semakin tidak sihat
  • Pernah mengalami sawan demam – sawan yang berlaku semasa demam

Selalunya demam bayi akan kebah selepas beberapa hari tanpa sebarang komplikasi.

Suhu yang meningkat ialah cara badan untuk melawan penyakit. Jadi walaupun ia membimbangkan apabila si manja demam, ini bermakna sistem imun mereka berfungsi sebagaimana seharusnya.

Namun sekiranya anak nampak tidak sihat dan ia membimbangkan anda, bawalah mereka untuk pemeriksaan doktor.

Menggigil, antara tanda bayi demam

Badan anak yang menggigil boleh menjadi petanda demam. Periksalah suhu badannya jika anda mengesyaki mereka demam.

Jika suhu mereka tinggi, pakaikan mereka pakaian selesa, banyakkan berehat dan pastikan pengudaraan bilik yang baik. 

Panas & kemerahan

Apabila anak demam, dahi, belakang badan atau perut mereka mungkin berasa panas. Untuk bacaan tepat suhu badan si kecil, gunakanlah termometer.

Jika bayi anda mempunyai suhu tinggi, buat mereka selesa dan cuba tawarkan cecair seperti air, jus cair, susu atau apa sahaja yang biasa mereka minum.

Tanda bayi demam #Mudah meragam

Naluri seorang ibu tiada siapa dapat menyangkalnya. Anda lebih mengenali si manja, maka percayalah naluri anda.

Tangisan yang berbeza juga boleh dikaitkan dengan demam. Begitu juga jika si manja tampak lebih lesu daripada biasa.

Sebaiknya, pantaulah keadaan dan suhu badan mereka dengan kerap menggunakan termometer. 

Hilang selera makan

Jika anda perasan si manja kurang menyusu berbanding biasa atau bagi yang sudah mula mengambil makanan pejal dan kurang makan, ini mungkin bermakna ada sesuatu tidak kena.

Tawarkan susu seperti biasa untuk memastikan mereka tidak mengalami dehidrasi dan buatkan catatan jumlah penyusuan supaya anda boleh memaklumkan kepada doktor jika wujud kebimbangan.

Menjaga bayi yang demam

Gambar via Hello Doktor

Ibu bapa disyorkan untuk memastikan bayi selesa sekiranya mereka demam dan bukan sekadar memfokuskan kepada untuk menurunkan suhu badan semata-mata.

Antara cara merawat bayi demam, ibu bapa boleh:

  • Pantau tahap aktiviti dan keselesaan keseluruhan si manja. Bayi yang kelihatan gembira dan selesa mungkin tidak memerlukan rawatan
  • Pastikan bayi kekal terhidrasi dengan baik. Demam meningkatkan risiko dehidrasi, jadi ibu bapa harus menawarkan susu ibu atau susu formula mengikut keinginan si manja. Dalam sesetengah kes, doktor mungkin mengesyorkan pemberian larutan rehidrasi oral (ORS) untuk mencegah dehidrasi
  • Pantau bayi untuk tanda-tanda dehidrasi. Ini boleh termasuk kurang kencing, mata cekung, bibir pecah-pecah atau kulit yang sangat kering atau kelihatan pucat
  • Usah membangunkan bayi yang sedang tidur untuk memberikan ubat anti-demam, melainkan atas arahan doktor
  • Berikan ubat anti-demam di bawah pengawasan doktor. Ubat boleh diberikan jika bayi mengalami kesakitan atau tidak selesa akibat demam. Berat bayi menentukan dos, jadi ikut arahan label dengan teliti. Berunding dengan doktor sebelum memberi ubat baru kepada bayi, terutamanya yang sakit
  • Bantu hadkan penyebaran jangkitan. Jangan menghantar bayi ke pusat asuhan atau taska, mahupun membawa mereka ke tempat kunjungan awam

Ia satu kebiasaan untuk berasa bimbang apabila si manja demam. Namun dengan penjagaan yang betul, pastinya akan dapat mengatasi dan mengurangkan tanda bayi demam.

Berundinglah dengan doktor sekiranya terdapat sebarang kebimbangan.

BACA JUGA: Doktor Ajar Teknik Untuk Buatkan Bayi Baru Lahir Berhenti Menangis

Sumber: Hello Doktor

Nurul Alya

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.