Hadapi Tekanan Kewangan, MYAirline Umum Gantung Operasi
Syarikat penerbangan tambang murah MYAirline mengumumkan penggantungan operasinya berkuat kuasa hari ini, 12 Oktober 2023 berikutan tekanan kewangan yang ketara.
Menerusi satu kenyataan, syarikat tersebut mengatakan penggantungan itu akan berterusan hingga ke satu tarikh yang bakal diumumkan nanti.
Jelasnya, keputusan itu terpaksa dibuat ekoran masalah kewangan yang menyebabkan operasi perlu digantung selain menunggu penstrukturan semula pemegang saham dan permodalan semula syarikat itu.
“Kami amat kesal dan memohon maaf kerana terpaksa membuat keputusan ini kerana kami memahami kesannya terhadap penumpang setia kami, pekerja yang berdedikasi dan rakan kongsi.
“Kami telah bekerja tanpa jemu untuk meneroka pelbagai perkongsian dan pilihan penjanaan modal untuk mengelakkan penggantungan ini. Malangnya, kekangan masa menyebabkan kami tiada alternatif selain mengambil keputusan ini.
“Kami memahami kesulitan yang mungkin timbul dan kami komited untuk membantu anda melalui situasi ini,” kata Ahli Lembaga Pengarah MYAirline dalam kenyataan hari ini.
BACA: Tular Dakwaan Kapten Kapal Ugut Halau Dari Pesawat, MyAirline Tampil Permohonan Maaf
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan para penumpang yang terjejas untuk pergi ke lapangan terbang dan mencari pengaturan perjalanan alternatif ke destinasi mereka.
Tambahnya, pihak mereka akan meneruskan pekerjaan tanpa rasa jemu dan memohon maaf atas kesulitan tersebut.
“Lembaga Pengarah, pemegang saham dan kami semua di MYAirline akan bekerja tanpa jemu untuk menyambung semula operasi secepat mungkin tetapi pada peringkat ini kami tidak dapat komited pada sebarang garis masa.
“Kami mengulangi permohonan maaf yang setulus-tulusnya atas sebarang kesulitan yang timbul daripada penggantungan ini dan akan melakukan yang terbaik untuk menyediakan sebarang kemas kini yang tersedia.
“Sila hubungi kami di [email protected], dan pasukan sokongan kami akan sedia untuk memberikan bantuan mereka,” ujarnya.
https://www.facebook.com/FlyMYAirline/posts/pfbid0QqckQYysUdXqvWwNsUBwkAj3D2bNgfKrrzPPWNSyMko5qinPt9vmWKwf8EfmBDdKl
Sumber: MYAirline