Tajikistan secara rasminya muncul juara Pestabola Merdeka 2023 setelah menumpaskan Malaysia dengan kemenangan selesa 2-0 malam ini.
Dalam pertembungan bertemu gergasi Asia Tengah itu, Harimau Malaya berdepan cabaran di gawang sendiri apabila Tajikistan mendahului perlawanan menerusi Rustam Soirov pada minit ke-44.
Perlawanan diteruskan dengan separuh masa kedua yang menyaksikan kedua-dua pasukan mempamerkan serangan bertali arus ke arah kawasan lawan masing-masing.
Walau bagaimanapun kebuntuan skuad Kim Pan Gon dalam memburu gol pertama akhirnya ‘pecah’ apabila Tajikistan sekali lagi berjaya merobek gawang Syihan dengan jaringan kedua oleh Shahrom Samiev pada minit ke-88.
Sebanyak tujuh minit diberikan pada masa kecederaan, namun corak permainan Harimau Malaya sekali lagi gagal menemui sebarang jaringan.
Gawang Syihan yang dibolosi dua kali dipercayai terhasil akibat kelekaan di bahagian pertahanan, sekali gus membuatkan skuad kendalian Petar Segrt kekal mendominasi jaringan hingga ke wisel penamat.
Keputusan 2-0 kekal hingga wisel penamat ditiupkan, sekali gus melayakkan Tajikistan bergelar juara Pestabola Merdeka 2023 malam ini.
Kemenangan Tajikistan pada malam ini juga nampaknya mematahkan impian Malaysia untuk menjulang piala berkenaan buat kali yang ke-13.
Impian Petar jadi kenyataan
Dalam pada itu, impian pengendali Tajikistan untuk menjadi ‘orang pertama’ yang membawa pulang piala berprestij berkenaan akhirnya menjadi kenyataan.
Imbas kembali berita semalam, Petar Segrt menaruh keyakinan bahawa pasukannya akan membawa pulang piala sekali gus merangkul gelaran juara Pestabola Merdeka menentang pasukan ke-134 dunia, Harimau Malaya.
“Esok kita akan datang ke perlawanan, percayalah saya akan menjadi orang pertama yang membawa piala ini pulang apabila saya mempunyai peluang.
“Ini bukan piala kecil. Pemain saya tidak tahu bagaimana suasana dan keadaan stadium esok.
“(Sama ada) 90 minit atau mungkin 100 minit penonton akan menyanyi dan menjerit. Tetapi saya juga tahu penonton, apabila kita menang, mereka akan memberi penghormatan dan buat masa ini, saya menunggu untuk mendapat penghormatan daripada anda esok di atas padang,” katanya kepada pemberita pada sidang media praperlawanan akhir Pestabola Merdeka 2023 semalam.
Ujarnya, skuad bimbingan Kim Pan Gon perlulah merebut piala tersebut semasa perlawanan yang ditetapkan selama 90 minit.
BACA JUGA: Pestabola Merdeka: Jurulatih Tajikistan Yakin Dapat Bawa Pulang Piala Esok