Macam Senang, Abang Ni Ajar Tanam Ketumbar Guna Botol Plastik
Kalau perasan, ketumbar yang dijual di pasar biasanya tidak sampai RM5 untuk sepaket dan ketumbar dalam plastik itu juga banyak. Namun, kita tidak akan gunakan semua ketumbar itu sewaktu memasak.
Jadi, agak membazir sebenarnya, melainkan anda memang selalu masak lauk yang setiap hari memerlukan ketumbar. Jika daun ketumbar tidak digunakan maka ia akan menjadi layu.
Tapi kita boleh elakkan perkara itu berlaku sekiranya kita tanam daun ketumbar di rumah dan boleh ambil mengikut keperluan. Seperti yang diajar oleh seorang petani dari India Bonsai Tricks And a Lot More yang menanam ketumbar tanpa tanah dan menggunakan botol plastik.
Yang paling seronok sekali, ia juga mudah untuk dilakukan. Mari ikuti perkongsiannya di bawah ini.
Tanam ketumbar dalam botol

Bahan-bahan:
Biji benih ketumbar
Botol plastik
Pisau
Paku
Pemetik api
Batu kerikil
Kerajang aluminium
BACA: Buat Macam Ni, Tips Bagi Santan Beku Jadi ‘Cantik’ Semula, Tak Berketul-ketul
Cara-caranya:
Rendam biji benih ketumbar di dalam air selama 48 jam (dua hari).
Kemudian, ambil botol plastik dan potong kepada dua bahagian.

Ambil satu bahagian botol yang mempunyai penutup, kemudian tebuk lubang kecil (untuk saliran akar) padanya termasuk penutup botol menggunakan paku yang dipanaskan dengan pemetik api.

Bersihkan batu kerikil (pebble wash) dengan berhati-hati dan masukkannya ke dalam bekas yang dilubangkan sebentar tadi.
Selepas direndam selama dua hari, dapat dilihat biji benih ketumbar ada yang terapung dan tenggelam. Jika biji benih itu tenggelam, maka ia adalah benih yang baik dan sekiranya terapung, ia benih yang tidak elok.
Taburkan biji benih ketumbar yang tenggelam itu ke dalam bekas batu kerikil tadi dan tutupnya dengan lapisan pasir.
Seterusnya, ambil bahagian botol yang kedua dan isikan air hingga separa.

Letakkan bahagian atas botol itu tadi ke dalam botol yang diisi dengan air dan semburkan air pada permukaan semaian.
Biarkan ia berjemur di luar supaya kena cahaya matahari.

Selepas tujuh hari, boleh dilihat ketumbar akan mula tumbuh dari benih tersebut.
Pindahkan tempat semaian botol ke dalam bekas air yang bersih. Setelah itu, bersihkan botol yang terkena dengan pembiakan alga tersebut.
Sekiranya tidak mahu botol terkena dengan pembiakan alga, balut menggunakan kerajang aluminium.
Selamat mencuba!
Sumber: Bonsai Tricks And a Lot More/Youtube