Jambatan Kaca Tiba-tiba Pecah, Pelancong Jatuh & Meninggal Dunia
Jambatan kaca setinggi 15 meter di kawasan pelancongan The Geong, kompleks Hutan Pinus Limpakuwus, Jawa Tengah di Indonesia dilaporkan pecah pada Rabu.
Menurut Kompas.com, kejadian berkenaan turut menyebabkan empat orang pelancong yang sedang bergambar terjatuh daripada jambatan tersebut.
Salah seorang daripada pelancong berkenaan dilaporkan telah meninggal dunia.
Komisioner Besar Suranta Sitepu berkata, tragedi yang meragut nyawa tersebut berlaku kira-kira jam 10 pagi waktu Indonesia Barat.
Jambatan kaca pecah, pelancong terjatuh dan meninggal dunia, seorang lagi cedera
“Daripada maklumat yang telah dikumpulkan, sebanyak 11 orang pelancong dari Cilacap berada di atas jambatan berkenaan ketika kejadian,” katanya.
Namun begitu, bahagian kepingan kaca yang menjadi lantai jambatan berkenaan pecah secara tiba-tiba ketika pelancong-pelancong berkenaan berdiri disitu.
Berdasarkan gambar yang tular, dapat dilihat sekurang-kurangnya empat bahagian atau keping kaca pada jambatan tersebut pecah.
“Empat orang terlibat, dua orang daripadanya sempat berpaut pada rangka jambatan.
“Manakala, dua orang lagi terus terjatuh iaitu dua orang wanita yang masing-masing berusia 41 dan 49 tahun,” jelas Edy lagi.
Ujarnya, kedua-dua mangsa yang terjatuh itu dikejarkan ke hospital hospital berdekatan untuk menerima rawatan. Mangsa yang berusia 41 tahun hanya mengalami kecederaan ringan.
Malangnya, mangsa yang berusia 49 tahun pula disahkan telah meninggal dunia.
Sumber: Kompas