McDonald’s Malaysia sebentar tadi memuat naik satu grafik bagi memberikan penjelasan berhubung beberapa isu yang hangat dibualkan ketika ini.
Menurut grafik tersebut, McDonald’s Malaysia atau Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd adalah sebuah syarikat operasi tempatan dan perniagaan yang dimiliki 100 peratus orang Islam.
Pemilikan tersebut berlaku sejak ia diambil alih oleh Lionhorn Pte. Ltd., iaitu sebuah anak syarikat Kumpulan Reza dari Arab Saudi pada 2017.
Berhubung bayaran royalti kepada McDonald’s Corporation pula, McDonald’s Malaysia berkata ia semata-mata untuk mendapatkan hak menggunakan jenama dan sistem perniagaan McDonald’s.
“Ini membolehkan pelanggan mendapat pengalaman yang sama apabila mereka berada di mana-mana restoran McDonald’s di Malaysia atau negara lain,” menurut grafik itu.

Selain itu McDonald’s Malaysia juga menegaskan bahawa McDonald’s Corporation tidak boleh menggunakan bayaran royalti yang diterima untuk menindas mana-mana pihak.
“McDonald’s Corporation tidak boleh membiayai atau terlibat di dalam sebarang bentuk keganasan dan penindasan di mana-mana negara sekalipun”, kata grafik itu lagi.
Sebagai sebuah syarikat milik awam yang tersenarai di bursa saham, McDonald’s Corporation terikat kepada undang-undang, kod etika perniagaan, sistem tadbir urus dan pengauditan yang ketat serta telus.
Berhubung pendirian syarikat itu dalam konflik Israel-Palestin, McDonald’s Malaysia menegaskan pihaknya tidak terlibat dalam sebarang konflik politik atau agama di mana-mana negara.
“Walau bagaimanapun, McDonald’s Malaysia amat prihatin dan peka dengan krisis kemanusiaan yang akan berlaku setiap kali tercetusnya konflik Israel-Palestin.
“Kami telah dan akan terus menyokong usaha Kerajaan Malaysia dalam misi bantuan kemanusiaan di kawasan-kawasan yang terkesan,”.
BACA: McDonald’s Malaysia Sumbang RM1 Juta Kepada Dana Kemanusiaan Palestin
Terdahulu, McDonald’s Malaysia mengumumkan telah menyumbang sebanyak RM 1 juta kepada Dana Kemanusiaan Palestin.
Menurut syarikat itu, sumbangan tersebut dibuat bagi menyahut seruan Perdana Menteri untuk mengumpul Dana Kemanusiaan Palestin sebanyak RM10 juta.
“Krisis kemanusiaan yang semakin menekan di Gaza mengetengahkan kepentingan usaha ini.
“Lantaran itu, McDonald’s Malaysia berganding bahu bersama kerajaan dalam menyokong pendanaan ini dengan harapan supaya membantu rakyat Palestin yang sedang menghadapi kesukaran.”
Pemberian sumbangan itu ke Dana Kemanusiaan Palestin adalah untuk menyokong misi bantuan kemanusiaan di Gaza.
Ia meliputi bantuan dari segi perubatan, makanan, tempat tinggal dan bantuan pemindahan sekiranya diperlukan oleh pasukan penyelamat.
Sumber: McDonald’s Malaysia