Siakap Keli
israel 600 sasaran
Kredit: AFP

Israel Dakwa Serang Lebih 600 Sasaran Dalam Tempoh 24 Jam

Israel Dakwa Serang Lebih 600 Sasaran Dalam Tempoh 24 Jam

Tentera udara Israel mendakwa pihaknya telah melancarkan serangan ke atas lebih 600 sasaran di Gaza dalam tempoh 24 jam semalam, lapor VOA News.

Israel turut mendakwa pihaknya turut menyerang sasaran Hamas di Syria dan Lubnan dan menyatakan serangan tersebut adalah sebagai tindak balas kepada tindakan yang dilancarkan dari kedua-dua negara berkenaan.

Dalam pada itu, Israel mendakwa bahawa tentera daratnya turut membunuh beberapa anggota Hamas ketika mereka keluar dari terowong.

“Semasa pertempuran dengan Hamas di Semenanjung Gaza, tentera Angkatan Pertahanan Israel (IDF) membunuh berpuluh-puluh anggota Hamas yang menghalang pasukannya dalam bangunan dan terowong, dalam masa yang sama cuba menyerang mereka,” kata sumber IDF.

Terowong tersebut merupakan satu-satunya laluan pejalan kaki dari Gaza ke Israel sebelum ia musnah dalam pertempuran baru-baru ini.

Difahamkan juga, Hamas menjadikan terowong yang luas di bawah Gaza sebagai tempat yang dipercayai sebagai penyimpanan senjata, makanan dan bekalan lain.

Sementara itu, Save the Children dalam satu kenyataan berkata jumlah kanak-kanak yang dilaporkan terbunuh di Gaza dalam tempoh tiga minggu telah melebihi jumlah tahunan di seluruh zon konflik dunia sejak 2019.

BACA: Satu-satunya Hospital Kanser Di Gaza Rosak Teruk Dibom Tentera Israel

“Lebih 3,000 kanak-kanak telah terbunuh dalam konflik Israel-Gaza,” katanya.

Manakala, tentera Israel pada Ahad mengeluarkan seruan mendesak kepada orang awam Palestin di Semenanjung Gaza untuk berpindah ke selatan buat sementara waktu untuk jauh dari pusat peperangan.

“Penempatan semula ke selatan adalah untuk keselamatan peribadi mereka.

“Kami menekankan bahawa ini adalah panggilan ‘urgent’,” kata ketua jurucakap Laksamana Muda Daniel Hagari.

Beliau juga melaporkan bahawa bilangan orang yang disahkan menjadi tebusan di Gaza sejak serangan rentas sempadan Hamas pada 7 Oktober di selatan Israel kini seramai 239 orang.

Sebelum ini, Israel mengisytiharkan perang ke atas Hamas selepas pasukan itu melakukan serangan mengejut pada 7 Oktober yang membunuh seramai 1,400 orang.

Sejak itu, angka kematian rakyat Palestin telah melepasi 8,000 orang, menurut Kementerian Kesihatan di Gaza yang dikendalikan Hamas.

Sumber: VOA News

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana