Hamas Bebaskan Dua Tawanan Warga Emas Israel
Israel mengesahkan bahawa dua lagi tawanan di Gaza telah dibebaskan, menjadikan jumlah keseluruhan tahanan yang dibebaskan kini sebanyak empat orang, lapor BBC.
Dua tawanan wanita terbaru yang dibebaskan masing-masing dikenali sebagai Nurit Cooper, 79 dan Yocheved Lifshitz, 85.
Susulan pembebasan itu, Israel berterima kasih kepada Mesir dan Bulan Sabit Merah atas bantuan serta peranan penting yang dimainkan dalam isu tersebut.
Hamas berkata bahawa mereka membebaskan tawanan itu atas dasar kemanusiaan dan kesihatan.
Kedua-dua wanita itu dikatakan telah ditahan dari rumah mereka di Kibbutz Nir Oz oleh Hamas semasa konflik bermula pada 7 Oktober lalu.
Dalam satu kenyataan, pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata bahawa kedua-dua wanita itu diserahkan kepada Angkatan Pertahanan Israel.
Mereka kini sedang menuju ke pusat perubatan di Israel, di mana mereka kemudiannya akan diserahkan kepada keluarga mereka.
Video yang dikeluarkan oleh Hamas pada petang semalam menunjukkan detik kedua-dua tawanan warga emas itu dibebaskan.
Mereka telah diserahkan kepada wakil jawatankuasa Bulan Sabit Merah Antarabangsa.
Salah seorang tawanan yang bernama Lifschitz telah mengesahkan identiti dirinya serta umurnya.
Keluarga tawanan wanita yang berada di UK dan Israel lega selepas berita pembebasan tersebut disampaikan kepada mereka.
Dalam satu kenyataan daripada anak perempuan Lifshitz di London, dia mengesahkan bahawa ibunya adalah salah seorang daripada dua tawanan yang dibebaskan pada petang Isnin lalu.
BACA: Jangan Marah Anak Kalau Malas Ke Sekolah, Mungkin Dia Dah Kena ‘Usik’
“Saya tidak dapat mengungkapkan kata-kata lega bahawa kini dia sudah selamat. Saya juga tetap akan fokus untuk memastikan pembebasan bapa saya dan kira-kira 200 orang tawanan yang lain,” tambah anak perempuan Lifshitz.
Sumber: BBC