Siakap Keli
najib penjara kajang
Gambar: Bernama

Bebas COVID-19, Najib Dibenarkan Pulang Ke Penjara Kajang

Bebas COVID-19, Najib Dibenarkan Pulang Ke Penjara Kajang

KUALA LUMPUR — Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dilaporkan pulang ke Penjara Kajang semula hari ini selepas dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) susulan disahkan positif COVID-19, lapor Astro Awani.

Pegawai Khas Najib, Muhamad Mukhlis Maghribi berkata bekas Ahli Parlimen Pekan itu disahkan negatif COVID-19 selepas saringan kali kedua dilakukan pada Jumaat lalu.

“Walau bagaimanapun pihak HKL masih membuat pemantauan ke atas tahap kesihatan Datuk Seri Najib Razak sehingga 5 November.

“Setelah doktor membuat pemeriksaan terakhir pada tarikh tersebut, beliau dibenarkan pulang ke Penjara Kajang,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Muhamad Mukhlis turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak penjara terutamanya Penjara Kajang dan pegawai perubatan Penjara Kajang.

Ia selepas kesihatan dan kebajikan bekas Presiden UMNO itu dijaga dengan baik.

“Sekalung penghargaan juga buat pihak HKL yang telah memberikan rawatan yang sebaik mungkin.” maklumnya.

Terdahulu, Najib disahkan positif COVID-19 dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Beliau mengadu demam sebelum dikejarkan ke hospital dari penjara.

Masalah kesihatan yang sedang dihadapi Najib juga disahkan oleh Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa dalam sidang media di Parlimen.

BACA JUGA: Periksa Benda Penting Ni Dulu Sebelum Beli Kereta Terpakai, Takut Pernah Tenggelam Banjir

Najib Jalani Hukuman Penjara 12 Tahun

Pada 23 Ogos tahun lalu,  Datuk Seri Najib Tun Razak mula menjalani hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta, lapor Bernama.

Keputusan itu dibuat selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman berkenaan.

Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat berkata selepas meneliti bukti, hujahan dan rekod-rekod rayuan, adalah didapati rungutan perayu sepertimana terkandung dalam petisyen rayuan tidak mempunyai merit.

“Mengenai keseluruhan bukti, kami mendapati sabitan ke atas semua tujuh pertuduhan ke atas perayu adalah selamat. Kami juga mendapati hukuman yang dijatuhkan adalah tidak keterlaluan.

“Oleh itu rayuan ini ditolak sebulat suara dan sabitan serta hukuman dikekalkan,” katanya.

Sumber: Astro Awani 

Iqbal Yasir

A wise man once said "Siuuuuu"

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.