Siakap Keli
warga emas bitcoin
Kredit: BERNAMA

Warga Emas Rugi Hampir RM300,000 Terpedaya Pelaburan Bitcoin

Warga Emas Rugi Hampir RM300,000 Terpedaya Pelaburan Bitcoin

BATU PAHAT, 6 Nov (Bernama) — Seorang warga emas kerugian sebanyak RM299,373.40 akibat terpedaya dengan pelaburan bitcoin yang diiklankan melalui Facebook dan mampu memberi pulangan lumayan.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Ismail Dollah berkata kejadian membabitkan wanita berusia 62 tahun itu bermula April lepas apabila berurusan dengan seorang lelaki yang menguruskan laman terbabit.

Selain Facebook, pesara itu turut menggunakan aplikasi WhatsApp bagi menyertai pelaburan bitcoin yang menggunakan nama Syarikat Bitcoin Y*****, kata beliau.

“Bagi tujuan itu, mangsa memasukkan sebanyak RM35,320 menerusi tujuh transaksi akaun bank berbeza secara berperingkat.

“Mangsa juga menyerahkan data peribadi seperti nama, nombor kad pengenalan selain maklumat perbankan untuk urusan berkenaan serta memuat turun aplikasi Y*****,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ismail berkata mangsa kemudian dihubungi kononnya telah mendapat keuntungan daripada pelaburan awal, namun diminta untuk memasukkan wang berjumlah RM164,417 jika ingin mengeluarkan duit berkenaan.

Suspek, katanya turut memberitahu mangsa bahawa wang itu akan dikembalikan sekiranya mangsa tidak terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram.

“Transaksi tidak habis di situ apabila mangsa juga dikehendaki memasukkan wang berjumlah RM99,636 bagi tujuan pembayaran pertukaran wang asing.

“Bagaimanapun, sehingga hari ini mangsa masih belum mendapat sebarang bayaran serta keuntungan yang dinyatakan sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat semalam,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun, sebat serta denda.

Dalam masa yang sama, Ismail menasihati orang ramai agar lebih berhati-hati apabila menerima panggilan daripada nombor yang tidak dikenali dan membuat semakan dengan pihak berkuasa terlebih dahulu.

Sumber: BERNAMA

BACA: Bitcoin: Peniaga Didakwa Rasuah Pegawai TNB RM126,500

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana