Denda Atau Penjara Jika Pakai Apa-Apa Lambang Kebangsaan Negara Asing Tanpa Permit – Singapura
Kementerian Dalam Negeri Singapura (MHA), pada Isnin lalu memberi amaran bahawa memaparkan atau memakai mana-mana lambang negara asing secara terbuka tanpa permit adalah satu kesalahan.
Memetik Straits Times, undang-undang tersebut terpakai kepada semua lambang negara asing, termasuk bendera dan sepanduk mana-mana negeri.
Jika mana-mana individu disabitkan bersalah boleh dipenjara sehingga enam bulan dan denda sehingga 500 SGD (RM1,724).
Tindakan itu termaktub dalam Akta Lambang Negara Asing (Kawalan Paparan) 1949 negara itu.
Tambahnya, pelancong yang memakai pakaian sedemikian semasa melawat juga boleh dinafikan dari masuk ke Singapura.
MHA berkata, mereka ambil maklum berkenaan pakaian dan kelengkapan dengan lambang negara asing berkaitan konflik yang dijual di atas talian.
Dalam pada itu, pihak MHA juga turut menerima soalan berkenaan sama ada tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap mereka yang berbuat demikian.
Semakan The Straits Times mendapati bahawa barangan berkaitan konflik Palestin-Israel dijual secara meluas di pelbagai media sosial dan laman web e-dagang.
Barangan itu termasuk seperti kemeja-T, pelekat dan kain lilitan di kepala. Malah satu kemeja-T boleh dijual dengan harga 20SGD (RM69).
Sementara itu, MHA turut berkata bahawa konflik yang berterusan itu adalah isu emotif dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak mempamerkan barangan berkaitan konflik.
Bagi mereka yang ingin membantu mangsa yang terkesan akibat konflik, MHA berkata bahawa orang ramai boleh membuat sumbangan mereka.
Sumbangan boleh dibuat kepada pengumpulan dana yang dibenarkan dan tabung derma yang menyokong bantuan kemanusiaan.
MHA berkata badan amal tempatan yang mempunyai permit untuk mengumpul dana bagi tujuan amal asing termasuk Persatuan Palang Merah Singapura (SRC).
BACA: Lain Dari Lain, Chef Ni Buat Drama Pendek Untuk Kongsi Resipi, Jalan Cerita ‘Plot Twist’ Habis
Sebuah lagi badan amal yang mempunyai permit adalah Yayasan Rahmatan Lil Alamin (Berkat Kepada Semua), atau RLAF.
Pada 1 Nov, RLAF telah mengumpulkan kira-kira 4.6 juta SGP (RM15.8 juta) untuk menyediakan bantuan komuniti di Gaza.
Pengumpulan dana itu dilancarkan pada 19 Okt dan akan berakhir pada 17 Nov.
SRC berkata pada 31 Okt lalu bahawa ia akan menghantar bekalan bantuan bernilai 270,000 SGD (RM931,000) ke zon perang.
Ia termasuk barangan seperti kit kebersihan, air bersih, bekalan makanan dan bahan guna perubatan, serta peralatan seperti kerusi roda.
Sumber: The Straits Times