Gempa Bumi Kuat Sekali Lagi Gegar Laut Banda, Indonesia
INDONESIA — Gempa bumi kuat bermagnitud 6.9 dilaporkan telah melanda Laut Banda pada jam 9.02 malam sebentar tadi.
Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), gempa berkedalaman 10 kilometer di bawah laut itu berpusat di 6.4 darjah Selatan dan 129.8 darjah Timur.
BACA: Periksa Benda Penting Ni Dulu Sebelum Beli Kereta Terpakai, Takut Pernah Tenggelam Banjir
Gegaran tersebut dapat dirasai sehingga 353 kilometer (km) Tenggara dari Ambon, Indonesia.
Walau bagaimanapun, METMalaysia memaklumkan tiada sebarang ancaman tsunami dikeluarkan terhadap Malaysia.
Gempa bumi kuat M6.9 di Laut Banda pada 9:02 malam, 8 November 2023. Pusat gempa bumi di 6.4° Selatan dan 129.8° Timur dengan kedalaman 10 km. 353km Tenggara dari Ambon,Indonesia.
Tiada ancaman tsunami kepada Malaysia.#gempabumiMETMalaysia#mygempa.met.gov.my pic.twitter.com/AgH9zktfno— Jabatan Meteorologi Malaysia (@metmalaysia) November 8, 2023
Terdahulu, MetMalaysia juga telah memaklumkan bahawa gempa 7.1 Magnitud telah menggegarkan Laut Banda pada jam 12.52 tengah hari.
Sementara itu, Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG) Indonesia berkata gempa tersebut tidak berpotensi menyebabkan tsunami, lapor CNBC Indonesia.
Namun, penduduk setempat dinasihatkan untuk berhati-hati terhadap gempa susulan yang mungkin terjadi.
Menurut Ketua Bahagian Mitigasi Gempa dan Tsunami BMKG, Daryono, gempa yang berlaku adalah jenis gempa bumi cetek akibat aktiviti ubah bentuk batuan (kerak bumi) di dasar Laut Banda.
“Hasil analisis mekanisme sumber menunjukkan gempa bumi mempunyai mekanisme pergerakan strike-slip,” katanya kepada Liputan 6.
Tiada kerosakan harta benda atau kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.
BACA JUGA: Gempa Bumi Maghribi: Angka Korban Terkini Meningkat Kepada Lebih 820 Orang