Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

PDRM Sedia Hantar Pasukan Sertai Misi Pengaman Ke Palestin – KPN 

Iqbal Yasir
pdrm hantar pasukan palestin
Gambar: Bernama

PDRM Sedia Hantar Pasukan Sertai Misi Pengaman Ke Palestin – KPN

KUALA LUMPUR, 8 Nov (Bernama) — Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersedia untuk menghantar anggotanya ke Palestin untuk menyertai misi pengaman sekiranya ada permintaan berbuat demikian.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata bagaimanapun tiada keperluan berbuat demikian kerana situasi di sana masih tegang.

“Sekiranya hendak hantar anggota polis, perlu ada permintaan daripada kerajaan dan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL). Jika ada, memang kami akan hantar untuk misi pengaman, namun keadaan tidak mengizinkan buat masa ini,” katanya pada sidang media khas di Bukit Aman di sini hari ini.

Dalam pada itu, Razarudin berkata PDRM juga tidak menerima sebarang maklumat terdapat orang awam yang ingin melakukan perjalanan ke kawasan konflik di Palestin.

BACA JUGA: Hantar Pasukan Tentera Ke Palestin Perlu Disepakati Negara Jiran – Anwar

Pada masa sama, beliau menasihati rakyat Malaysia yang ingin menyalurkan sebarang bentuk bantuan supaya menyemak kesahihan wakil menguruskan sumbangan serta mengambil langkah teliti demi mengelak daripada menjadi mangsa penipuan.

Sementara itu, mengulas mengenai tahap keselamatan negara susulan kelantangan rakyat Malaysia menyuarakan isu Palestin, beliau berkata polis sedang mengumpul pelbagai maklumat keselamatan termasuk berkaitan pergerakan aktiviti ejen perisikan asing di negara ini.

“PDRM melalui risikan akan mengumpul maklumat sebanyak mungkin berkaitan perkara berkenaan. Ia termasuklah maklumat berkaitan ejen Mossad dan sabotaj ekonomi, sekiranya ada maklumat kami akan tahan mereka,” katanya.

Sumber: BERNAMA