Trak Konvoi Bantuan Kemanusiaan Ke Gaza Dibakar – ICRC
Konflik Israel-Palestin yang berlaku sejak sebulan lalu masih belum berakhir dan baru-baru ini trak-trak konvoi yang mengangkut kit bantuan kemanusiaan telah dibakar dalam kejadian di Semenanjung Gaza.
Lapor Bloomberg, Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) dalam satu kenyataan tidak menyatakan punca kebakaran namun menyifatkan kejadian yang terjadi pada 12 pagi Selasa itu ‘sangat bermasalah’.
Dalam kejadian itu, difahamkan seorang pemandu dilaporkan cedera ringan manakala dua daripada lima trak itu berada dalam keadaan rosak.
Trak tersebut membawa bekalan perubatan menuju ke pusat kemudahan kesihatan termasuk hospital Al Quds di Bandar Gaza, di mana sebelum ini dituntut (diberi amaran) oleh Israel untuk dikosongkan sebelum serangan.
Pusat kesihatan itu telah menjadi lokasi perlindungan bagi ribuan penduduk Gaza yang kehilangan tempat tinggal.
Bagaimanapun difahamkan, konvoi trak itu telah menukar haluan dan menyampaikan bantuan ke hospital Al-Shifa di bandar itu, menurut ICRC.
BACA: Israel Dakwa Serang Lebih 600 Sasaran Dalam Tempoh 24 Jam
Semalam, Bernama melaporkan wartawan agensi berita WAFA Mohammad Abu Hasira dilaporkan terbunuh selepas kediamannya di Bandar Gaza dibom tentera Israel.
Abu Hasira dan 42 ahli keluarga yang lain, termasuk anak lelakinya terkorban dalam insiden itu, menurut WAFA.
Beberapa hari sebelum itu, seorang lagi wartawan Mohammad Hamouda dan keluarganya cedera selepas rumahnya menjadi sasaran serangan tentera Israel.
Serangan itu turut menyebabkan isterinya cedera parah dan mata kirinya buta manakala kaki anak sulungnya terpaksa dipotong.
Sejak 7 Okt lalu, sekurang-kurangnya 49 wartawan di Semenanjung Gaza terbunuh dalam serangan tentera Israel ke atas orang awam.
BACA: Israel Tingkatkan Serangan Di Gaza, Talian Komunikasi Terputus